AM

UNDP, MALAYSIA TERUSKAN KERJASAMA PEMANTAPAN INSTITUSI LEGISLATIF, PEMBANGUNAN BAKAT DAN BELIA

16/04/2024 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Parlimen Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju untuk memperbaharui kerjasama susulan kejayaan usaha sama antara kedua-dua pihak sejak 2019 hingga 2023.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama tersebut merangkumi sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat, pengukuhan institusi legislatif, pembinaan kapasiti dan pembangunan belia hingga 2025.

“Pembaharuan kerjasama tersebut telah dibincangkan oleh Pentadbir Bersekutu UNDP Haoliang Xu yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul di Parlimen semasa lawatan beliau ke Malaysia hari ini.

“Semasa kunjungan hormat itu, Johari dan Xu terlibat dalam perbincangan yang membuahkan hasil positif dalam pelbagai bidang khususnya mengenai pengukuhan sistem tadbir urus dan pemerkasaan Parlimen serta isu alam sekitar, perubahan iklim, dan kemiskinan,” menurut kenyataan tersebut.

UNDP merupakan sebuah badan yang menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan antarabangsa, serantau dan nasional dalam usahanya untuk mendukung pembangunan Malaysia.

Menurut kenyataan itu Xu dijadualkan bertemu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong bermula hari ini hingga 18 April.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan