AM

Agong Mahu Penjelasan Kelewatan Pembinaan Kolam Selam Tempur Di Kem Iskandar

15/04/2024 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan.

“Malah, semalam saya dimaklumkan lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak berkenaan. Pada hari ini, saya mendapati papan tanda projek di tapak pembinaan pula dirobohkan.

“Mengapa ia dirobohkan, saya mahu perkara ini diperjelaskan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor dan Jurutera Daerah Mersing,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office yang dikongsikan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sehubungan itu Yang di-Pertuan Agong menitahkan papan tanda berkenaan dipasang semula di tapak projek pembinaan.

Majlis pecah tanah kolam berkenaan disempurnakan Sultan Ibrahim pada Mei 2018.

Kolam selam tempur merupakan fasiliti yang amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim. 

Fasiliti itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti mock up kapal, entry point bagi kemasukan melalui udara, serta banyak lagi kemudahan asas sokongan operasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan