EKONOMI

PROJEK BERKAITAN ECRL DIJANGKA TINGKAT AKTIVITI SOSIOEKONOMI DALAM PELBAGAI SEKTOR -- MIDA

15/04/2024 03:48 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Laluan Rel Pantai Timur- Projek Pemecut Ekonomi (ECRL-EAP) dijangka meningkatkan aktiviti sosioekonomi dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, pelancongan, perdagangan dan pembanguan perindustrian, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). 

ECRL-EAP ialah projek infrastruktur yang bermula pada April 2019 dengan kerjasama MIDA dan China Communications Construction Company (CCCC).

MIDA berkata ECRL menawarkan banyak peluang kepada syarikat tempatan dan menjadi satu kerugian besar sekiranya ia tidak dimanfaatkan.

Menurutnya, memandangkan projek itu adalah yang terbesar pernah dilaksanakan di sepanjang penjajaran Pantai Timur ia merupakan satu peluang keemasan yang perlu direbut oleh syarikat. 

“Bidang yang boleh diteroka dengan lebih lanjut -- sebagai pemboleh EAP -- adalah pembinaan (produk dan perkhidmatan); tenaga boleh baharu, produk dan perkhidmatan kemampanan; pendidikan dan pusat latihan; perkhidmatan utiliti seperti pengurusan sisa buangan dan penyelidikan dan pembangunan.

"Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan baharu di setiap EAP," kata agensi itu kepada Bernama.

MIDA juga berkata kejayaan pelaksanaan ECRL memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan tempatan, pemain utama pengangkutan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), institusi kewangan dan masyarakat tempatan.

“MIDA teruja untuk menyokong perniagaan yang mengintai pelaburan ECRL-EAP. Ini akan meningkatkan daya tarikan projek untuk pelabur. Usaha ini penting dalam mengekalkan kelebihan berbanding inisiatif saingan lain seperti cadangan projek Jambatan Kra Land Thailand.

"Kami menyeru lebih banyak syarikat untuk bergabung tenaga dengan kerajaan melalui MIDA, memperkasakan inisiatif inovatif ini," katanya.

MIDA juga akan mempromosikan program berkaitan dengan ECRL-EAP di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Agensi itu juga telah memulakan libat urus dengan pihak berkepentingan utama termasuk kerajaan tempatan, persatuan industri, pengurus dan pemaju taman, GLIC dan amanah pelaburan hartanah untuk meningkatkan kesedaran tentang EAP dan menjangkau khalayak yang lebih luas dalam kalangan bakal pelabur.

“Penyertaan daripada semua pihak berkepentingan adalah sangat penting.Isu seperti cabaran alam sekitar, seperti banjir, infrastruktur, kesediaan utiliti, sekatan pengezonan dan pengkategorian tanah, telah dikenal pasti.

“Untuk menangani cabaran ini, MIDA sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama seperti penyedia utiliti, kerajaan negeri, persatuan dan pemaju, dan pihak berkepentingan utama lain untuk memastikan isu itu ditangani dan persekitaran pemboleh disediakan bagi  pembangunan dan pelaburan di sepanjang laluan,” katanya.

MIDA, melalui platform penyelarasan pelaburan domestik (DICP), yang terletak di bawah bahagian pelaburan domestik, memainkan peranan dalam menghubungkan pelabur dengan pembiaya.

Menurut agensi itu, DICP memudahkan libat urus secara langsung antara pelabur dan pembiaya, membolehkan mereka membincangkan mengenai pilihan pembiayaan, terma rundingan, dan menimbang perjanjian pembiayaan alternatif.

ECRL yang menelan kos RM50.27 bilion itu kini sedang dalam pembinaan dan akan menghubungkan bandar pantai timur Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor di pantai barat .Ia dijangka memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan di sepanjang laluannya.

Projek yang disasarkan siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027 itu bakal membawa perubahan kepada Malaysia, menghubungkan negara ini dengan rangkaian kereta api Pan-Asia dan meningkatkan kesalinghubungan dengan rantau ASEAN dan Eurasia.

Selain itu, ia juga dijangka membantu meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 3.8 peratus pada 2047 menerusi peningkatan perdagangan dan pelancongan selain merangsang pembangunan serantau.

ECRL-EAP dijangka menjana RM1.4 trilion untuk ekonomi Malaysia menjelang 2047 dengan tumpuan pada taman perindustrian, hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Inisiatif strategik ini bertujuan meningkatkan ketersambungan dan aktiviti ekonomi di sepanjang laluan ECRL dan memastikan pertumbuhan inklusif di semua negeri yang mengambil bahagian. EAP berusaha untuk menangani jurang pendapatan dan kekayaan dengan memupuk agenda kemakmuran bersama,” kata MIDA.

Setakat Februari 2024, projek itu sudah 62.4 peratus siap dengan penjajajaran setiap negeri mencatatkan kemajuan kukuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan