JENAYAH & MAHKAMAH

PENGARAH SYARIKAT DIDENDA RM15,000 SIMPAN LPG BERSUBSIDI DI PREMIS TIDAK DILESENKAN

15/04/2024 02:59 PM

KUALA PILAH, 15 April (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat didenda RM15,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan 988 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di premis yang tidak dilesenkan.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hakim Ariffin, 30, dan mengarahkan tertuduh dikenakan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hakim selaku pengarah syarikat Premix Global Resources didapati menyimpan barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu LPG jenama Gasul berkapasiti 12 kg sebanyak 17 tong dan Petron Gasul berkapasiti 14 kg berjumlah 56 tong, yang disimpan dalam premis selain yang dinyatakan dalam lesen.

Perbuatan itu dilakukan pada 11.15 pagi di sebuah premis di Bukit Temensu, Jalan Tampin di sini, pada 6 Julai 2023 dan kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, LPG yang disita dijual dan hasil jualan dijadikan Hasil Sementara Kerajaan menerusi sebut harga bernilai RM4,396.46.

Semakan dengan pihak Majlis Daerah Kuala Pilah mengesahkan bahawa tempat kejadian yang disita mempunyai lesen perniagaan bagi pusat jualan makanan ternakan serta pembekal bahan pertanian dan bukannya aktiviti menjual LPG. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Khairul Azman Rosli manakala tertuduh diwakili peguam G Dineshan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan