JENAYAH & MAHKAMAH

KES SAMAN KHAIRY ISU VAKSIN SELESAI, LOKMAN ADAM SETUJU BUAT PERMOHONAN MAAF

15/04/2024 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kes saman fitnah bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam berhubung isu vaksin COVID-19 selesai secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Khairy memaklumkan kepada mahkamah bahawa antara terma-terma dipersetujui kedua-dua pihak (Khairy dan Lokman Noor) ialah defendan (Lokman Noor) bersetuju untuk memadamkan tujuh hantaran mengandungi video, kapsyen serta foto, dan akan menyiarkan permohonan maaf di akaun Facebook serta Youtube defendan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

"Pihak defendan juga bersetuju untuk memadamkan pernyataan fitnah dan tidak menerbitkan semula atau berkongsi pernyataan fitnah itu serta bersetuju untuk membayar satu jumlah yang tidak didedahkan sebagai pampasan kepada anak guam saya," kata peguam itu pada prosiding di hadapan Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee.

Hakim Lee kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai kedua-dua pihak.

"Mahkamah menghargai usaha kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes. Alhamdulillah ia berjaya diselesaikan. Tahniah dan terima kasih," kata hakim itu.  

Sebelum ini mahkamah menetapkan tiga hari bermula hari ini untuk perbicaraan kes saman berkenaan.

Sementara itu peguam Logen Eskander, yang mewakili Lokman Noor ketika ditemui pemberita memaklumkan permohonan maaf akan disiarkan dalam tempoh 30 hari. Lokman Noor tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada 25 Jan 2022 bekas Ahli Parlimen Rembau itu, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Jan 2022, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Jan tahun sama.

Khairy berkata kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

Plaintif turut mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Khairy ketika ditemui pemberita berkata beliau berpuas hati dengan keputusan yang dicapai hari ini.

"Saya berterima kasih kepada hakim, saya berpuas hati sebab dia (Lokman) nak minta maaf dan akan membayar seperti mana yang dipersetuju," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan