JENAYAH & MAHKAMAH

APMM TAHAN BOT, 5 KRU WARGA INDONESIA DISYAKI CURI BESI BURUK

15/04/2024 02:29 PM

KOTA TINGGI, 15 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot kayu bersama-sama lima kru warga Indonesia kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri besi buruk di perairan Johor Timur, semalam. 

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata pihaknya menerima aduan daripada Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) mengenai sebuah bot tunda BONGAWAN 9 berserta baj HEXAGRO 9 dengan muatan besi buruk telah dinaiki suspek.  

Beliau berkata mereka dipercayai cuba mencuri muatan baj yang dalam perjalanan dari Labuan menuju ke Pelabuhan Klang itu pada kedudukan 3.8 batu nautika selatan Tanjung Penyusop di sini, 10.45 pagi semalam. 

“Sejurus aduan diterima, sebuah bot ronda yang sedang melaksanakan rondaan telah diatur gerak ke lokasi kejadian. 

“Menyedari kehadiran anggota APMM, mereka bertindak cuba melarikan diri namun berjaya ditahan pada kedudukan 3.6 batu nautika selatan Tanjung Penyusop di sini, pukul 11.50 pagi,” katanya pada sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili di sini hari ini.

Mohd Najib berkata kesemua kru lelaki tersebut berusia antara 31 hingga 53 tahun dan telah dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut. 

“Bagaimanapun, ketika diiringi ke jeti Pos Maritim Pengerang, bot tahanan telah mengalami kebocoran yang tidak dapat dikawal dan telah tenggelam pada kedudukan dua batu nautika tenggara Tanjung Bulat.

“Oleh itu, anggaran rampasan setakat ini adalah kira-kira RM10,000 hingga RM20,000 kerana kita masih lagi meneliti nilai sebenar, susulan bot tenggelam," tambahnya. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari, bermula hari ini. 

Beliau berkata modus operandi yang digunakan adalah menyasarkan bot atau kapal yang bergerak perlahan dan barangan yang biasanya dicuri ialah besi buruk atau yang mudah diambil seperti tali. 

“Justeru, pengusaha kapal dinasihatkan agar lebih berwaspada termasuk mengaktifkan Sistem Pengenalan Automatik (AIS), menambah jumlah petugas pemerhati kapal, berjaga-jaga dengan kehadiran bot yang mencurigakan serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya berlaku insiden tidak diingini,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan