AM

Inovasi Tepung Jagung Hasilkan Produk Kraf Berpotensi Besar

15/04/2024 12:44 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Tepung jagung lazimnya digunakan untuk memekatkan kuah atau sos dalam masakan, namun sepasang suami isteri dari Sungai Petani, Kedah tampil dengan kelainan apabila menggunakan doh tepung jagung sebagai bahan asas bagi menghasilkan produk kraf tangan.

Aida Yuhaini Yusoff, 43, dan suaminya, Hasnizar Abdul Halim, 44, mengambil tempoh setahun untuk mencuba pelbagai teknik dan sukatan sebelum berjaya menghasilkan doh tepung yang sempurna.

“Bahan asas digunakan untuk membuat doh itu adalah campuran tepung jagung, minyak bayi, losen bayi, gam dan cuka dimasak dengan api yang kecil selama 10 hingga 15 minit sebelum diuli ketika masih panas untuk mendapatkan tekstur kenyal dan licin serta gebu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Hari Kraf Kebangsaan 2024, baru-baru ini.

Menurut lepasan Diploma Rekabentuk Dalaman dari Universiti Teknologi MARA itu, menerusi jenama handmade by aidayusoff, pelbagai ukiran seperti replika buah-buahan, bunga serta sajian popular seperti nasi lemak, sate, kuetiau goreng, ayam goreng, air batu campur, mahupun makanan barat seperti makarun dan burger telah dihasilkan.

Kebanyakannya dihiasi di atas pinggan hiasan, cawan, bekas makanan, menu hiasan, pemegang sudu atau garfu serta papan penyedia hidangan dan dijual pada harga serendah RM5 hingga RM800 bergantung kepada saiz dan bentuk.

Anak kelahiran Kangar, Perlis itu berkata semua dekorasi yang dihasilkan bukan sahaja untuk hiasan rumah tetapi juga sesuai dijadikan hiasan pin tudung, rantai kunci, magnet peti sejuk, cenderahati majlis keraian dan perkahwinan, barangan cenderamata dan sebagainya.

Walaupun proses pembuatannya rumit dan memerlukan ketelitian tinggi, ibarat pepatah ‘alah bisa tegal biasa’, ibu kepada tiga anak berusia lapan hingga 12 tahun ini mengakui banyak mempelajari cara pembuatan produk itu menerusi tutorial dalam talian sejak 2019.

“Saya tidak belajar secara formal sebaliknya membuat rujukan daripada pakar kraf tempatan dan luar negara seperti Rusia dan Korea Selatan menerusi laman pencarian visual berimej Pinterest,” katanya.

Mempunyai bengkel di Pekan Baru, Sungai Petani, Aida Yuhaini mengakui tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat dengan setiap produk dihasilkannya adalah berdasarkan kreativiti sendiri, mengikut gaya dan kehendak pelanggan.

“Dalam sehari, saya boleh hasilkan 10 hingga 20 rantai kunci dan magnet peti sejuk berupa makanan bergantung kepada saiz dan bentuk. Semua produk ini dibuat sendiri tanpa menggunakan sebarang acuan. Jika ada ada acara, saya akan tingkatkan pengeluaran untuk tambah produk sedia ada,” katanya yang pernah menerima tempahan membuat arca nanas setinggi 0.6 meter yang memakan masa tiga minggu untuk disiapkan pada 2021.

Bagi memastikan seni itu tidak hilang ditelan zaman, Aida Yuhaini turut aktif menerima jemputan daripada pelbagai pihak termasuk sekolah bagi mengajar seni pembuatan kraf tangan berasaskan doh tepung jagung.

“Saya turut menawarkan kelas seni kreatif menerusi bengkel yang dibuka kepada golongan kanak-kanak dan dewasa, masing-masing dengan harga RM45 dan RM100 untuk tempoh tiga jam,” katanya yang berharap agar seni kraf tangan itu dapat terus berkembang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan