DUNIA

Israel Minta Majlis Keselamatan Pbb Adakan Mesyuarat Tergempar Berikutan Serangan Iran

14/04/2024 06:02 PM

WASHINGTON, 14 April (Bernama-Anadolu)  -- Perwakilan Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu meminta satu mesyuarat Majlis Keselamatan berikutan serangan udara Iran ke atas Israel.   

“Saya mengesahkan permintaan Israel untuk  mengadakan satu mesyuarat Majlis Keselamatan dengan segera untuk mengutuk Iran di atas serangan itu dan menamakan Pengawal Revolusi Iran sebagai pertubuhan pengganas,” kata Dutanya  Gilad Erdan dalam hantaran di laman X,lapor Agensi Anadolu.

Serangan Iran merupakan satu “serangan serius” kepada keamanan dan keselamatan global, katanya dan berharap Majlis Keselamatan akan menggunakan segala pendekatan untuk mengambil tindakan yang konkrit terhadap Iran.  

Beliau berkata Iran melancarkan serangan terus dari wilayahnya dengan lebih daripada 200 dron, peluru berpandu dan misil balistik ke atas Israel, yang jelas melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa. 

“Iran juga secara umum berbangga dengan serangan itu.  Peningkatan serangan itu adalah serius dan berbahaya,” katanya. 

Perwakilan Tetap Malta di PBB yang juga  Presiden Majlis Keselamatan untuk April berkata mereka dijangka mengadakan mesyuarat itu pada pukul 4 petang Ahad waktu tempatan.   

Iran memulakan serangan udara ke atas Israel  pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap serangan udara pada 1 April  ke atas Kedutaan Iran di Damsyik, Syria. Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh staf Kor Pengawal Revolusi Iran termasuk dua jeneral utama.

Tehran mendakwa Israel melakukan serangan itu dan berikrar akan bertindak balas.  Tel Aviv tidak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu secara rasmi  tetapi ia telah berbulan-bulan melakukan beberapa serangan yang menyasarkan kepentingan Iran di seluruh Syria.

Iran dan sekutu rapatnya di Lubnan, Hizbollah sebelum ini berkata mereka tidak akan berdiam diri terhadap serangan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan