AM

PARAS AIR EMPANGAN AIR ITAM DI TAHAP KETIGA KRITIKAL - CHOW

14/04/2024 04:04 PM

GEORGE TOWN, 14 April (Bernama) -- Paras takungan air di Empangan Air Itam di sini dikesan mencecah tahap ketiga kritikal dengan bacaan 30.8 peratus hari ini dan mampu bertahan hingga 30 hari sahaja lagi jika masih tiada hujan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata sepanjang April ini, empangan itu hanya menerima hujan sebanyak 22.5 milimeter (mm) sahaja berbanding sepatutnya 300mm sebulan.

"Hujan lebat di beberapa kawasan di negeri ini tidak membantu meningkatkan paras Empangan Air Itam yang kini mencatat tahap ketiga kritikal kerana hujan tidak turun di kawasan tadahan air tersebut sebaliknya ia turun di kawasan lain di negeri ini.

"Paras empangan itu juga semakin menurun berbanding minggu lepas iaitu 32 peratus kerana air diekstrak pada minggu ini bagi menampung permintaan pengguna yang tinggi kerana musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Raya Aidilfitri Parlimen Bukit Bendera di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) 2024, yang melibatkan empat langkah termasuk meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam ke Loji Rawatan Air (LRA) daripada 75 juta liter sehari (JLH) kepada 11 JLH bagi mengekalkan kapasiti efektif di Empangan Air Itam.

Ditanya mengenai pembenihan awan, beliau berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk melaksanakan alternatif itu berikutan Pulau Pinang masih menerima hujan sejak beberapa minggu lepas.

Sebelum ini, PBAPP memaklumkan kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada paras 32.4 peratus pada Februari lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan