EKONOMI

Program Agrobank Upward Migration Berjaya Bantu Peserta Tingkat Perniagaan

14/04/2024 12:41 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

KOTA BHARU, 14 April (Bernama) -- Program bimbingan perniagaan Agrobank Upward Migration (AUM) yang bermula sejak 2021 telah berjaya membantu ramai peserta yang menyertainya meningkatkan kapasiti perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik serta berdaya saing.

Program tersebut yang dikendalikan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) adalah bertujuan untuk mengenal pasti syarikat perniagaan mikro, kecil dan sederhana yang berpotensi meningkat ke tahap lebih baik.

Peserta yang mengikuti program tersebut, Mohd Farhan Mat Yaacob, 31, berkata selepas mengalami krisis kejatuhan perusahaan pada 2020, beliau berasa buntu untuk mencari dana bagi meneruskan kelangsungan hidup dan mengembangkan perniagaan sejuk bekunya yang dibina sejak 2011.

"Saya mula mendapatkan dana pembiayaan dari Agrobank menerusi program AUM ini pada 2021 kerana yakin dapat meningkatkan perniagaan dengan bantuan dan bimbingan yang diberikan oleh institusi kewangan ini.

"Selain pembiayaan, banyak inisiatif lain yang ditawarkan menerusi program ini termasuk kursus, teknik perniagaan dan pemasaran yang diberikan secara percuma," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Kubang Bongor, dekat sini, hari ini.

Mohd Farhan yang mempunyai 200 stokis seluruh negeri berkata selepas mendapat suntikan pembiayaan dana menerusi program tersebut, hasil jualan perniagaan sejuk beku seperti daging lembu, kambing dan ayam mencecah lebih RM2 juta sebulan.

"Sebelum pandemik COVID-19, saya hanya menternak dan menjual kambing sahaja dengan harga yang dijual sekitar RM400 hingga RM1,500 bergantung pada jantina, saiz, umur dan baka.

"Tetapi apabila berlaku penularan COVID-19, perniagaan saya jatuh merundum dan terpaksa mencari alternatif lain untuk teruskan jualan ini sehingga tercetusnya idea membuat sejuk beku pula.

"Alhamdulillah, apabila Agrobank bantu beri dana, jualan saya semakin meningkat," katanya yang turut mengimport kambing dari luar negara iaitu Australia, Thailand dan Myanmar.

Sementara itu, seorang lagi peserta Nor Azlini Awang Ngah, 44, yang terlibat dalam perniagaan pengedaran  beras berkata cabaran yang sering dihadapi beliau adalah stok bekalan tidak menentu serta harga sentiasa berubah kerana beras adalah barangan makanan kawalan yang perlu mengikut harga yang ditetapkan kerajaan.

"Alhamdulillah permintaan beras sentiasa ada dan hasil jualan kami mencecah hampir RM3 juta sebulan.

"Malah, selepas mengikuti program AUM saya dapat belajar pelbagai ilmu dengan Agrobank kerana kursus dan modul yang diberikan itu memberi banyak manfaat untuk mengembangkan perniagaan dan menjana pendapatan," katanya yang mewarisi perniagaan daripada keluarganya sejak tahun 2000.

Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata pihaknya menyasarkan penglibatan 200 usahawan dari seluruh negara menyertai program AUM pada tahun ini untuk meningkatkan perniagaan yang diceburi mereka.

Program berstruktur selama 12 bulan ini meliputi empat kali sesi latihan iaitu secara fizikal atau dalam talian, dan empat kali sesi bimbingan di premis usahawan.

Antara modul yang dibekalkan kepada usahawan adalah Seni Urus Kewangan, Pemasaran, Penetapan Sasaran Syarikat dan Urus Bisnes Gaya Korporat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan