AM

TEKNOLOGI AI PERKASA PKS UNTUK TINGKAT KECEKAPAN

14/04/2024 11:21 AM

Oleh Previnna Thuraisingam

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mampu memperoleh kelebihan daya saing mereka dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang merangkumi AI dokumen, AI umum, AI generatif, model pembelajaran mesin dan pemprosesan bahasa semula jadi (NLP).

Teknologi berkenaan membolehkan PKS mengautomasikan pengekstrakan data, analisis dan proses membuat keputusan sekali gus meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

Naib Presiden Kanan Serantau ASEAN dan India di Snowflake Sanjay Deshmukh berkata teknologi dan penyelesaian AI mampu memperkasakan perniagaan termasuk PKS, dengan memanfaatkan kuasa data dan AI bagi memacu pertumbuhan, inovasi dan daya saing dalam industri masing-masing.

Beliau menekankan bahawa kefahaman dalam Bahasa Inggeris atau bahasa mudah seperti SQL (Bahasa Pertanyaan Berstruktur) sudah memadai untuk menggunakan teknologi berkenaan secara berkesan, menyingkirkan keperluan terhadap kemahiran sains data khusus.

“Anda tidak perlu menjadi saintis data untuk menggunakan teknologi ini (AI). Anda perlu tahu bahasa Inggeris atau anda mungkin bahasa mudah seperti SQL, iaitu bahasa yang digunakan orang ramai untuk berinteraksi dengan data," katanya kepada Bernama dalam temu bual secara maya baru-baru ini.

Beliau memberi gambaran dengan contoh bagaimana sebuah syarikat pembuatan di Malaysia boleh menggunakan AI untuk meningkatkan kecekapan dengan hanya bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris, seperti mengenal pasti alat ganti yang kerap rosak dan pembekalnya.

Sanjay turut melahirkan keyakinan terhadap pengetahuan AI yang semakin berkembang di Malaysia, meramalkan kemunculan saintis data yang akan memudahkan akses kepada cerapan data untuk perniagaan.

Berkenaan perjalanan digital Malaysia, Sanjay memuji usaha kerajaan dalam mempromosikan penggunaan AI, menekankan impaknya terhadap perniagaan dan ekonomi.

Beliau turut menekankan potensi perniagaan untuk pengewangan data melalui kerjasama dengan industri lain, sekali gus meningkatkan aliran pendapatan.

Sanjay bagaimanapun mengakui terdapat beberapa cabaran menghalang penggunaan AI secara meluas dalam kalangan perniagaan di Malaysia, termasuk kekurangan kemahiran terhadap AI, salah tanggapan tentang data dan keselamatan serta silo data. 

Beliau sehubungan itu menggesa pemilik perniagaan supaya merebut peluang kemajuan teknologi untuk lebih berdaya saing.

Sanjay memaklumkan bahawa Snowflake yang merupakan syarikat pergudangan data berasaskan pengkomputeran awan telah membantu perniagaan Malaysia sejak 2018 dengan menyediakan perkhidmatan penyimpanan data dan analitik berasaskan awan untuk menangani cabaran terbabit.

Beliau menekankan usaha syarikat itu dalam membina kemahiran dan kesedaran dalam kalangan pelanggan serta rakan kongsi berkaitan penggunaan data dan AI di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan