AM

KAMPUNG DATU LAMA AKAN DIBANGUN SEMULA - ABANG JOHARI

14/04/2024 10:07 AM

SIBU,14 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan membangunkan semula Kampung Datu Lama yang merupakan perkampungan tradisional Melayu di Sibu dengan prasarana moden dan mengekalkan ciri-ciri serta budaya asal kampung berkenaan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha membangunkan semula kampung tradisional itu diputuskan selepas perbincangan beliau bersama pemimpin daerah itu sebelum ini.

“Kita (kerajaan) nak bangunkan semula Kampung Datu Lama dan mengekalkan apa yang ada tetapi mesti ada pembaharuan. Kita mesti memodenkan kawasan kampung dan pertahankan ciri-ciri dan budaya yang ada di Kampung Datu Lama dan sekitarnya. Ciri-ciri ini menggambarkan budaya yang diwarisi di Kampung Datu.

“Kalau pembangunan Darul Hana di Kuching boleh dibuat, saya yakin pembangunan semula Kampung Datu di Sibu pun boleh dibuat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu di sini malam tadi.

Abang Johari berkata pembangunan semula kampung terbabit yang merangkumi kawasan dari Masjid An-Nur hingga ke tebing Sungai Igan juga akan menyaksikan pembinaan rumah-rumah dengan reka bentuk moden yang lebih lebih selamat serta selesa.

“Kita akan mencantikkan tebingan Sungai Igan, kita akan buat tebingan dengan ciri-ciri tarikan dan di tebingan sungai pula akan dibangunkan sebuah pusat konvensyen,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan Sarawak telah siap merancang pelan induk pembangunan semula Bukit Assek, Sibu dan segala butiran akan siap pada suku pertama 2025 manakala pelaksanaan dibahagikan kepada empat fasa akan bermula pada 2026.

Menurut Abang Johari pembangunan semula Bukit Assek akan mengambil masa selama 15 tahun dan dijangka selesai pada 2040 sekali gus menyaksikan perubahan besar kepada bandar Sibu secara keseluruhan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan