AM

44 KES MELIOIDOSIS DIREKODKAN DI SABAH SETAKAT INI

13/04/2024 06:22 PM

KOTA KINABALU, 13 April (Bernama) -- Sebanyak 44 kes melioidosis direkodkan di Sabah hingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-14 tahun ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Asits Sanna.

Beliau berkata ia merupakan peningkatan sebanyak 12.8 peratus berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada ME sama pada tahun lepas iaitu sejumlah 39 kes.

Enam daerah tertinggi yang melaporkan kes melioidosis ialah Sandakan (12), Kota Kinabalu (11), Papar (5), Penampang (5), masing-masing dua kes di Sipitang dan Keningau, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai isu tular melalui Facebook berkenaan Kawalan Persekitaran Bagi Penyakit Berjangkit Melioidosis di Padang Ragbi, Tanjung Aru, beliau berkata pihaknya mengesahkan satu kes penyakit melioidosis di lokaliti terbabit yang dinotifikasikan pada 11 Mac 2024. 

"Sampel tanah telah diambil di lokaliti berkenaan berdasarkan pergerakan kes yang pernah bermain ragbi di padang ragbi itu. 

"Satu sampel didapati positif dengan bakteria Burkholderia pseudomallei iaitu agen penyebab kepada penyakit melioidosis. Pesakit telah memberikan sejarah mengalami luka di bahagian kaki semasa bermain ragbi yang mungkin menyebabkan jangkitan kepada beliau," katanya.

Dr Asits berkata penyakit melioidosis ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Burkholderia pseudomallei yang terdapat di permukaan air dan tanah. 

Katanya, manusia boleh dijangkiti penyakit ini apabila terdedah secara langsung kepada tanah dan sumber air yang tercemar dengan bakteria terbabit. Jangkitan sering berlaku terutamanya sewaktu musim hujan.

"Transmisi jangkitan boleh berlaku melalui saluran pernafasan (debu atau titisan air yang tercemar), terminum air yang tercemar atau melalui luka di kulit.

"Golongan yang berisiko tinggi ialah mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit hati, sakit buah pinggang, talasemia, kanser atau lain-lain keadaan daya tahan (imuniti) badan yang rendah," katanya.

Beliau berkata antara gejala yang mungkin dialami adalah seperti demam yang tinggi, sakit sendi, batuk, sakit dada, kudis, bisul, nanah, sakit kepala, tiada selera makan dan rasa lesu seluruh badan.

Penyakit ini menurut beliau, boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik tertentu, serta rawatan awal dengan antibiotik adalah perlu bagi mengelakkan pesakit, terutamanya golongan berisiko tinggi, daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk dan mengelakkan daripada kematian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan