AM

Sambutan Aidilfitri Madani Platform PM Anwar Dekati, Perjelas Isu Kepada Rakyat

13/04/2024 12:02 AM

MELAKA, 12 April (Bernama) -- Penganjuran sambutan Aidilfitri MADANI di pelbagai peringkat khususnya di negeri-negeri mampu menjadi 'penutup' kepada semua isu berbangkit sejak kebelakangan ini dan melonjakkan semangat muhibbah dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. 

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ini termasuk penganjuran Aidilfitri MADANI di enam negeri yang akan dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini bukan sahaja sebagai platform mendekatkan diri dengan rakyat tetapi peluang memperjelaskan isu berbangkit agar tiada maklumat salah yang diperoleh masyarakat seperti mana yang dimainkan oleh pembangkang atau pihak tidak bertanggungjawab,”katanya. 

Menurutnya enam negeri yang akan menganjurkan Aidilfitri MADANI adalah Johor, Sabah, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Kedah manakala bagi acara penutup Program MADANI Rakyat dan sambutan Aidilfitri dijadualkan di Pulau Pinang. 

"Kebiasaannya majlis rumah terbuka sempena Aidilftri berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya tetapi kali ini ada ada strategi yang berbeza kerana Anwar mahu meluangkan masa dengan turun ke negeri-negeri tersebut," katanya kepada pemberita di ketika ditemui di Majlis Aidilfitri MADANI di sini hari ini.

Katanya kehadiran Perdana Menteri di negeri-negeri tersebut juga antara lainnya adalah untuk bertemu dan mendengar taklimat daripada ketua-ketua negeri dan berbincang berkaitan projek tertentu yang menjadi keutamaan dan memerlukan dukungan dari Kerajaan Persekutuan. 

"Kaedah ini lebih efektif dan kemas kerana Anwar mengamalkan sikap ingin mendengar terus dari masyarakat apakah isu berbangkit di setiap negeri kerana setiap negeri ada isu yang perlu diselesaikan atau isu tertangguh sekian lama dan perlu mendapatkan penyelesaian daripada Perdana Menteri," katanya. 

Lebih 2,000 pengunjung pelbagai kaum dan pemimpin negeri dan parti politik memeriahkan majlis tersebut di kawasan rumah kedai  di Taman Bukit Piatu Mutiara di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan