EKONOMI

Tumpuan Global Pada Malaysia Apabila Ia Muncul Sebagai Kuasa Semikonduktor Baharu

12/04/2024 08:10 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 12 April  (Bernama) -- Industri semikonduktor Malaysia makin rancak menjadi bualan ramai sejak kebelakangan ini apabila ia muncul sebagai kuasa semikonduktor baharu dengan Pulau Pinang menjadi tumpuan global.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyatakan pada laman LinkedInnya bahawa Pulau Pinang memiliki pemain-pemain industri utama dari Eropah dan Amerika Syarikat yang menubuhkan anak syarikat atau mengembangkan operasi sedia ada ketika mereka berusaha membina rantaian bekalan global baharu untuk komponen-komponen penting berkenaan.

“Semikonduktor juga dikenali sebagai mikrocip atau litar bersepadu, ia adalah komponen asas dunia digital hari ini,” katanya dalam hantaran video hari ini.

Ia menyatakan terdapat lebih daripada 100 bilion semikonduktor digunakan setiap hari di seluruh dunia, tetapi rantaian bekalan semakin mudah terdedah kerana pembuatan semikonduktor sangat tertumpu.

Menurut WEF, Malaysia telah menjadi destinasi bagi mereka yang mencari pilihan-pilihan baharu.

“Pada 2023, Pulau Pinang berjaya merekodkan US$12.8 bilion dalam pelaburan langsung asing. Jumlah yang melebihi daripada gabungan tujuh tahun sebelumnya, Intel sebagai contoh, telah melabur US$7 bilion (US$1 = RM4.76) dalam kilang baharu di Pulau Pinang,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkongsi hantaran video daripada WEF itu di laman Facebook beliau berkata kerajaan MADANI komited untuk membina masa depan negara yang baharu, berteknologi tinggi dan berinovasi.

“Dengan pelaburan bernilai tinggi daripada syarikat global, menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk lebih ramai rakyat Malaysia.

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap potensi setiap rakyat Malaysia dalam prospek cerah untuk ekonomi kita dan masa depan kita bersama sebagai sebuah negara,” kata beliau. 

Begitu juga dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menyiarkan video WEF yang sama pada platform 'X' beliau dengan kapsyen 'Malaysia - Kuasa semikonduktor baharu'.

Selain WEF, media-media utama turut melaporkan bahawa Pulau Pinang sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah memenangi pelaburan dalam sektor cip baharu daripada syarikat multinasional, termasuk Lam Research, Infineon Technologies, Texas Instruments, Micron Technology, Bosch, Advanced Semiconductor Engineering (ASE) dan Intel.

Menurut media antarabangsa, pelaburan itu telah mengukuhkan kedudukan Malaysia pada peringkat akhir rantaian bekalan semikonduktor, terutamanya pemasangan cip, ujian dan pembungkusan, iaitu ia menguasai 13 peratus bahagian pasaran global dalam bidang-bidang berkenaan.

“Reka bentuk cip boleh menjadi bidang yang lebih menjanjikan untuk Malaysia daripada fabrikasi. Beberapa syarikat tempatan, seperti Oppstar Technology sudah boleh menyediakan perkhidmatan reka bentuk untuk cip canggih.

“Malaysia mesti segera merebut peluang dalam reka bentuk cip untuk meningkatkan rantaian nilai semikonduktor apabila persaingan semakin sengit,” kata satu laporan.

Media antarabangsa juga menyatakan apabila Oppstar disenaraikan di bursa saham Malaysia tahun lepas, pelabur beramai-ramai mendapatkan tawaran awam permulaan walaupun aktiviti penyenaraian awam secara global adalah lemah dan ia telah terlebih langgan sebanyak 77 kali, mendorong harga saham naik 286 peratus pada hari pertama dagangan.

Diasaskan pada 2014, Oppstar menghasilkan reka bentuk model transistor yang digunakan untuk cip daripada paras 20 nanometer dan ke bawah, sehingga kepada cip tiga nanometer yang paling canggih.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan