JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DITAHAN MILIKI PELBAGAI JENIS MERCUN DI TANAH MERAH

12/04/2024 01:01 PM

TANAH MERAH, 12 April (Bernama) -- Polis menahan seorang pemandu yang mengelak sekatan jalan raya bersama pelbagai jenis mercun bernilai RM1,000 di Kampung Kusial Baharu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata lelaki berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis BMW itu ditahan kira-kira 3 petang selepas membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan bagi mengelak pemeriksaan polis dalam Op Selamat 22 di simpang tiga Taman Kota Harmoni.

Beliau berkata kereta berkenaan kemudian memecut dan dipandu secara berbahaya yang boleh memberi kesan kepada pengguna jalan raya lain.

"Anggota polis terpaksa mengejar suspek sejauh dua kilometer sebelum ditahan dan menjumpai satu kotak coklat mengandungi pelbagai jenis mercun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Haki berkata pemeriksaan lanjut mendapati cukai jalan kenderaan dinaiki suspek telah tamat tempoh dan dia tiada lesen memandu.

Menurutnya hasil siasatan awal ke atas lelaki terbabit mendapati mercun itu untuk kegunaan sendiri pada musim perayaan Aidilfitri dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan