AM

SERANGAN DI GAZA: ANWAR HUBUNGI ISMAIL HANIYEH, SAMPAIKAN UCAPAN TAKZIAH

11/04/2024 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada pemimpin Hamas Ismail Haniyeh atas kematian beberapa ahli keluarganya dalam serangan udara oleh rejim ganas Zionis semalam. 

Perkara itu disampaikan Anwar ketika menghubungi pemimpin utama gerakan itu petang tadi, selepas mendapat berita mendukacitakan melibatkan kehilangan tiga anak Ismail iaitu Hazem, Amir dan Mohammad termasuk empat orang cucu. 

“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi dan semangat kebersamaan yang tinggi bersama keluarga Ismail serta seluruh rakyat Palestin yang telah kehilangan keluarga tersayang. 

“Kehilangan nyawa insan yang tidak berdosa, terutamanya kanak-kanak dalam suasana cukup tragik ini adalah amat sukar diterima oleh mana-mana manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia turut mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab rejim Zionis Israel yang berterusan melakukan genosid kebencian ke atas warga Palestin. 

Anwar berkata serangan jijik rejim Zionis membuktikan mereka tidak mempunyai keinginan melakukan gencatan senjata seperti yang dituntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini dan tidak tunduk serta patuh kepada prinsip hukum dan undang-undang antarabangsa. 

“Serangan kurang ajar oleh rejim pengecut Zionis Israel ini hanya melenyapkan sebarang harapan ke arah penyelesaian secara aman dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia terus diinjak tanpa noktah. 

“Malaysia sekali lagi mendesak keras komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas dan mempertanggungjawabkan rejim Zionis Israel atas kezaliman ini dan mesti bekerja untuk menjelmakan keamanan buat rakyat Palestin yang telah secara konsisten dinafikan sejak 75 tahun lampau,” katanya.

Terdahulu Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan memaklumkan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan oleh rejim Israel yang menyasarkan rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian Shati di utara Gaza, terutamanya semasa rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Malaysia akan terus menentang dengan teguh tindakan keganasan dan genosid yang jelas dijalankan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Sementara itu, menerusi video yang dikongsi oleh Anwar di Facebooknya, Ismail dalam perbualan dengan Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Beliau menyifatkan serangan udara oleh rejim Israel semalam yang mengorbankan beberapa ahli keluarganya semasa sambutan Aidilfitri Mubarak, jelas menunjukkan niat buruk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk meneruskan genosid dan demosid di Gaza.

“Ini jelas membuktikan tingkah laku dan niat buruk Netanyahu, rejim jenayah Israel terhadap rakyat kami dan seperti yang dinyatakan, ini benar-benar pembunuhan beramai-ramai dan suatu tindakan kegilaan terhadap rakyat kami sejak enam bulan lalu.

“Sekali lagi, kami berharap dapat menghentikan pencerobohan ini dan kami menghargai dan berterima kasih atas panggilan telefon saudara yang menunjukkan betapa kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong dan terkesan dengan penindasan terhadap saudara Islam di Palestin dan Gaza,” katanya melalui penterjemah.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan