AM

Malaysia Sampaikan Hasrat Supaya Mesir Buka Sempadan - Speaker Dewan Rakyat

11/04/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata beliau telah menyuarakan hasrat Malaysia kepada kerajaan Mesir supaya mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara itu bagi membolehkan bantuan makanan dan perubatan sampai kepada rakyat Palestin.

Johari berkata hasrat itu telah disampaikan kepada Duta Besar Mesir ke Malaysia Ragai Tawfik Said Nasr yang hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat di kediaman rasminya, di sini hari ini.

“Baru-baru ini ada permintaan untuk kita menghantar lagi bantuan makanan dan perubatan...kerajaan kita komited, cumanya tadi Duta Mesir ada di sini, jadi kita mintalah kalau boleh juga bukakan sempadan itu.

“Sebab saya difahamkan oleh beberapa Ahli Parlimen kita yang melawat sempadan (Mesir-Rafah) baru-baru ini, ada lebih kurang 60 ke 70 trak makanan dan perubatan yang kita hantar tersadai hampir dua hingga tiga bulan tidak boleh masuk,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka itu.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri-menteri Kabinet, Yang Dipertua Dewan Negeri Selangor Lau Weng San, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, beberapa perwakilan asing serta pegawai kanan kerajaan.

Pada masa sama, Johari menegaskan bahawa konflik Palestin dan Israel bukan sekadar membabitkan umat Islam semata-mata, malah melibatkan soal hak asasi kemanusiaan secara keseluruhannya memandangkan rakyat Palestin datang daripada pelbagai latar belakang agama.

Beliau berkata perdana menteri juga telah menjelaskan pendirian Malaysia ketika melawat Jerman bulan lepas dan negara tidak pernah berganjak daripada pendirian itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan