AM

MAIPS PERUNTUK RM7 JUTA LAKSANA PROGRAM LATIHAN KEMAHIRAN ASNAF

11/04/2024 03:35 PM

KANGAR, 11 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM7 juta kepada Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) untuk pelaksanaan program aktiviti berbentuk latihan kemahiran asnaf dan pengurusan bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata bagi memastikan program ditawarkan dapat memberikan kesan yang optimum, ATAM akan melaksanakan program penerapan jati diri dengan memberikan penekanan ketika fasa pemilihan peserta.

"Kejayaan dan keberkesanan program adalah elemen penting diberikan perhatian oleh ATAM agar tujuan dan maksud penubuhannya akan tercapai,"  katanya dalam kenyataan hari ini.

MAIPs dalam kenyataan memaklumkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan kepada Mohd Nazim bersempena Majlis Santapan Tengah Hari Aidilfitri di Balai Bankuasi Istana Arau, semalam.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta anakanda baginda berdua Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Menurut kenyataan itu, ATAM ditubuhkan oleh MAIPs dengan matlamat untuk melaksanakan program khas ke arah melahirkan asnaf berdikari melalui pelbagai latihan dan penempatan pekerjaan selain melaksanakan program bimbingan keusahawanan kepada asnaf di Perlis.

"Sejak dijenamakan pada 2017, pelbagai program latihan dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan kemahiran dilaksanakan oleh ATAM yang telah memberikan manfaat kepada lebih 1,300 asnaf melalui program latihan dan penempatan pekerjaan dan pelbagai lapangan bidang," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan