AM

SULTAN SELANGOR ZAHIR TAKZIAH KEPADA KELUARGA SISTER ENDA RYAN

09/04/2024 05:27 PM

SHAH ALAM, 9 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pengasas Sekolah Assunta Datin Paduka Sister Enda Ryan, yang meninggal dunia Ahad lalu pada usia 96 tahun.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. 

Menurut hantaran di akaun Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan terhadap mendiang, yang telah banyak menabur bakti dalam bidang pendidikan dan kebajikan di Malaysia sejak tiba di Tanah Melayu pada 1955.

“Di atas jasa dan sumbangan yang dicurahkan, Sultan Selangor telah mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) kepada mendiang pada tahun 2007, yang membawa gelaran Datin Paduka,” menurut hantaran tersebut.

Mendiang Enda Ryan juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Negeri Selangor pada tahun 1990. 

Mendiang yang lahir pada 30 Dis 1928, di Galbally, Ireland merupakan pengasas dan bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Assunta di Petaling Jaya dan menjadi warganegara Malaysia pada Oktober 1966.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan