EKONOMI

Untung Bersih Aeon Credit Melonjak Kepada Rm424.01 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024

08/04/2024 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Keuntungan bersih Aeon Credit Service (M) Bhd bagi tahun kewangan berakhir 29 Feb, 2024 meningkat kepada RM424.01 juta daripada RM417.68 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023.

Perolehan pula melonjak 16.6 peratus kepada RM1.91 bilion daripada RM1.64 bilion bagi tempoh sama, didorong jumlah transaksi dan jumlah pembiayaan yang dicatatkan meningkat 16.9 peratus kepada RM7.3 bilion berbanding angka pada tahun kewangan 2023, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Keuntungan bersih Aeon Credit meningkat kepada RM118.92 juta bagi suku keempat berakhir pada 29 Feb, 2024 daripada RM95.34 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023.

Sementara itu, perolehan melonjak kepada RM501.57 juta daripada RM432.66 juta bagi tempoh yang sama.

Menurutnya perolehan lebih tinggi sebanyak 15.9 peratus itu dipacu terutama oleh pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan yang lebih kukuh.

Aeon Credit menjelaskan bahawa pembiayaan kasar belum terima setakat pada 29 Feb, 2024 sebanyak RM12.232 bilion, meningkat sebanyak RM1.397 bilion daripada angka pada 28 Feb, 2023.

Pembiayaan bersih belum terima selepas peruntukan bagi kerugian rosot nilai ialah RM11.536 bilion berbanding RM10.049 bilion pada 28 Feb, 2023.

Syarikat itu memaklumkan bahawa nisbah pinjaman tidak berbayar berkurangan kepada 2.57 peratus pada suku keempat tahun kewangan 2024 daripada 2.89 peratus pada suku sama tahun kewangan sebelumnya susulan tindakan positif yang dilaksanakan.

“Pendapatan lain bagi suku semasa adalah sebanyak RM47.144 juta terutama disumbangkan oleh pemulihan hutang lapuk,” tambahnya.

Mengenai prospek, syarikat itu menjangkakan dapat mengekalkan momentum perniagaan dengan melaksanakan langkah yang sesuai bagi tahun kewangan berakhir 28 Feb, 2025, jelasnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan