AM

TAWARAN "HARGA RUNTUH" BANTU MASYARAKAT BERJIMAT BUAT PERSIAPAN AIDILFITRI

08/04/2024 01:31 PM

MELAKA, 8 April (Bernama) -- Tawaran "harga runtuh" dan istimewa peniaga-peniaga di Glam Ramadan Bazar Klebang di sini memberi peluang kepada masyarakat untuk menjimatkan perbelanjaan bagi menyambut Aidilfitri.

Tinjauan Bernama di bazar itu malam tadi mendapati ada peniaga menurunkan harga jualan hingga lebih 30 peratus bagi menghabiskan stok mereka, sekali gus menarik kehadiran pengunjung yang sedang membuat persiapan akhir menyambut lebaran.

Marzuki Omar, 42, dari Pantai Puteri di sini berkata dia membeli persiapan hari raya malam tadi selepas beberapa kali membuat tinjauan harga di bazar-bazar Aidilfitri dan pasar raya agar dapat membuat pilihan terbaik bagi menjimatkan perbelanjaan.

Pekerja swasta itu berkata pembelian pada saat akhir juga dilakukan kerana menunggu gaji dan bonus baru masuk yang sebahagian besarnya diperuntukkan untuk membeli keperluan Aidilfitri. 

"Saya memang rancang beli pakaian baharu untuk anak-anak pada saat akhir kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding pada awal Ramadan … kita juga masih dapat tawar-menawar harga lagi dengan peniaga.

"Lagipun, masih banyak lagi pilihan dan saiz yang tinggal, namun apa yang saya beli ini mengikut keperluan sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di Glam Ramadan Bazar Klebang di sini.

Sementara itu, Muhammad Zulhafifi Mohd Zahir, 26, berkata dia dan isteri Intan Norhashima Hashim, 25, dari Bemban, Jasin gemar membeli-belah pada saat-saat akhir kerana ingin merasai suasana meriah di setiap bazar yang menawarkan harga runtuh tanpa perlu meminta diskaun.

"Kemeriahan di bazar Ramadan hanya setahun sekali kita dapat rasa … saya sanggup datang dari jauh, walaupun terpaksa mengharungi ramai pengunjung, pengalaman setiap kali membeli-belah sangat dinanti-nantikan.

"Saya lebih suka beli di kedai atau bazar berbanding secara dalam talian kerana dapat lihat secara dekat dan mencuba saiz yang ada supaya tidak silap membeli, lagi puas hati," kata pemandu lori itu yang membelanjakan kira-kira RM400 untuk membeli barangan keperluan isterinya di bazar berkenaan.

Bagi suri rumah Azian Ibrahim, 46, dari Selandar, Jasin pula berkata dia dan keluarga gemar meluangkan masa meninjau harga barangan di setiap bazar yang ada bagi memudahkan mereka membuat pilihan tepat dan dapat berjimat cermat.

Ibu kepada empat anak berusia 13 hingga 21 tahun itu berkata sebagai pengguna, dia perlu bijak membuat perbandingan harga dan bazar Ramadan merupakan antara lokasi beli-belah setiap tahun menjelang Aidilfitri. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan