LAHAD DATU, 7 April (Bernama) -- Dua anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu cedera dalam kejadian tembak menembak di perairan Kunak pada 8.40 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Dr Suzanna Razali Chan berkata Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kanan dan Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan.
Beliau berkata ketika kejadian, sepasukan anggota Maritim Malaysia yang menaiki Bot Banggi 48 cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru untuk pemeriksaan dalam Op Khas Pagar Laut.
“Apabila pasukan peronda cuba menghampiri, tiga suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan empat das tembakan ke arah Maritim Malaysia bagi mengelak bot peronda menghampiri mereka.
“Suspek kemudian berjaya melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Suzanna berkata empat lagi anggota Maritim Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya Maritim Malaysia telah mengatur gerak Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat, pesawat udara dan Bahagian Perisikan Maritim bersama pasukan daripada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini dan mengesan kesemua suspek terlibat.
Sementara itu, Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata pihaknya sedang menyiasat dan mengesan kumpulan yang menembak dua anggota Maritim Malaysia itu dengan kerjasama agensi keselamatan lain termasuk Maritim Malaysia.
"ESSCOM, Polis Diraja Malaysia dan pasukan Maritim bekerjasama menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti kumpulan yang menembak itu. Setakat ini, kita siasat dulu dan kumpulkan maklumat sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Beliau berkata buat masa ini pihaknya juga belum dapat memastikan sama ada suspek daripada kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) atau penyeludupan, dan siasatan sedang dijalankan menjurus kepada faktor tersebut.
Difahamkan kejadian pagi tadi itu berlaku pantas dan suspek meloloskan diri dengan bot selepas melepaskan tembakan, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial