POLITIK

BEKAS PRESIDEN PSB DILANTIK NAIB PRESIDEN KANAN PDP -- TIONG

06/04/2024 11:29 PM

SIBU, 6 April (Bernama) -- Parti Sarawak Bersatu (PSB) sah dibubar dan ahlinya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) dengan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PDP.

Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PDP malam ini sebulat suara turut melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa dan ADUN Ba’kelalan, Baru Bian, masing-masing sebagai Naib Presiden PDP.

"Pelantikan Wong adalah mengikut perlembagaan parti setelah mengambil kira pengalaman luas yang beliau miliki dan kedudukan bekas pemimpin PSB lain akan ditentukan pada Mesyuarat Agung Khas parti kemudian,”katanya semasa berucap pada majlis jamuan malam bagi mengalu-alukan ahli PSB menyertai PDP di sini.

Dalam ucapannya, Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut menyeru semua ahli PDP menerima bekas pemimpin dan ahli PSB yang telah dibubarkan itu dan menjadi satu keluarga besar yang memberikan khidmat demi pembangunan Sarawak dan masa hadapan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau merakamkan penghargaannya kepada kepada pimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang merestui dan menyokong usaha PDP menerima bekas pemimpin dan dan ahli PSB.

Selain PDP, parti komponen dalam GPS turut melibatkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS). Berikutan perkembangan ini, GPS kini menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN di Sarawak.

Sementara itu, Wong dalam ucapannya berkata melihat kepada senario politik sekarang, rakyat memerlukan kerajaan yang kuat baik di peringkat Persekutuan dan negeri.

"Oleh itu kami telah memutuskan untuk menyokong Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri di bawah Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg,”katanya.

Menurutnya PSB dibubarkan selepas Persidangan Khas Perwakilan 17 Feb lalu dengan permohonan pembubaran dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 11 Mac lalu.

"Kami menerima surat kelulusan pembubaran dari ROS pada 19 Mac lalu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan