AM

Tradisi Berbuka Puasa Ala Era 70-an Gamit Nostalgia Makan Setalam

06/04/2024 10:41 PM

KOTA BHARU, 6 April (Bernama) -- Suasana berbuka puasa yang dicipta penduduk perumahan Taman Paduka Kubang Kerian, di sini menggamit nostalgia ala era 70-an apabila majlis itu dijalankan secara bergotong-royong bagi mengekalkan tradisi masyarakat Melayu Kelantan.

Penyelaras majlis berkenaan Nik Norgilan Ismail, 52 berkata kira-kira 80 penduduk bekerjasama memasak juadah tradisional antaranya nasi kerabu tumis dan kuih-muih seperti tepung pelita, kuih sira nekbat, pindang tapai ubi kayu dan puteri mandi yang disediakan sejak awal pagi.

"Inisiatif ini adalah hasil perkongsian idea semua penduduk yang sepakat memberi sumbangan dan menyediakan peralatan pinggan mangkuk lama, cerek serta dulang bagi mengimbau nostalgia berbuka puasa pada 1970-an.

"Kami memberi pendedahan seperti ini dengan hasrat ia akan diteruskan oleh generasi muda, malah kami percaya mereka jarang berkesempatan merasai suasana berbuka puasa yang ada keunikan tersendiri dengan makan setalam antara lima hingga enam orang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lebih menarik, Nik Norgilan yang juga seorang guru berkata mereka turut mengambil pendekatan mengenakan baju kurung Kedah bagi wanita, manakala pakaian semutar kain batik lepas pula dipakai oleh lelaki.

Nik Norgilan berkata sambutan berbuka puasa seumpama itu sudah jarang ditemukan dan ia sangat mengujakan mereka yang menyertai khususnya generasi muda.

"Walaupun perumahan ini berada di tengah-tengah bandar, kami mahu suasana kampung dan tradisi lama tidak dilupakan," katanya.

Seorang penduduk Mohd Zawawi Mat Nor, 29 berkata biarpun zaman berubah, amalan dan menu tradisi perlu dikekalkan bagi menyuburkan jati diri golongan pelapis.

Pada masa sama, katanya ukhwah dan silaturahim antara penduduk juga dapat terus dierat melalui kerja berpasukan yang dilakukan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan