EKONOMI

STANCHART SINGAPORE JANGKA RINGGIT MENINGKAT BERBANDING DOLAR AS

05/04/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mencecah 4.66 menjelang akhir suku kedua 2024, dan terus meningkat kepada 4.58 menjelang akhir tahun ini berikutan meningkatnya kejelasan mengenai pelonggaran dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Sehubungan itu, Standard Chartered Bank (Singapore) Ltd (StanChart Singapore) menyatakan prospek jangka sederhana yang positif terhadap ringgit.

“Kami menjangkakan lebihan dagangan komoditi dan elektronik Malaysia bertambah baik, manakala deposit mata wang asing yang tinggi dalam pesisir seharusnya memberi rangsangan kedudukan sebaik sahaja pasaran mendapat kejelasan mengenai pelonggaran dasar Fed," katanya dalam nota penyelidikan global.

Pada loceng pembukaan hari ini, ringgit kekal tidak berubah pada 4.7380/7420 berbanding dolar AS daripada 4.7380/7425 semasa ditutup semalam.

StanChart Singapore turut menyifatkan penglibatan aktif Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pihak berkepentingan sebagai langkah penting untuk menyokong ringgit.

“BNM terlibat secara aktif dengan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, pengeksport dan korporat setempat untuk menggalakkan penghantaran balik dan penukaran pendapatan pelaburan asing dan melindung nilai aset asing.

 "Ia juga sedang giat memantau penukaran hasil eksport. Kami menilainya sebagai langkah penting yang menyokong ringgit," katanya.

Melangkah ke hadapan, StanChart Singapore menjangkakan BNM akan mengelakkan kenaikan kadar untuk menyokong ringgit.

“Kami berpandangan bahawa bank pusat akan menilai kenaikan inflasi keseluruhan sebelum ini yang dipacu oleh perubahan pentadbiran dan rasionalisasi subsidi.

"Kami tidak menjangkakan perubahan dalam dasar monetari untuk menangani kelemahan tukaran mata wang asing, dengan penggubal dasar tidak melihatnya sebagai menjejaskan prospek pertumbuhan dan inflasi pada masa ini," katanya.

Bagaimanapun, bank itu menggariskan dua risiko utama yang boleh menjejaskan mata wang tempatan.

Menurutnya sekiranya pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat, yang menyebabkan peningkatan pindahan kadar pertukaran daripada kenaikan harga susulan perubahan pentadbiran dan rasionalisasi subsidi kepada inflasi teras, ini selanjutnya boleh menyebabkan BNM menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

"Kedua, jika ekonomi AS lebih berdaya tahan daripada yang dijangkakan, menangguhkan lagi pengurangan kadar Fed dan meredakan jangkaan pengurangan kadar, ini seterusnya boleh mendorong hasil Perbendaharaan AS, dan seterusnya meningkatkan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang lebih tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan