DUNIA

Kukuhkan Hubungan, Kerjasama Malaysia-china Demi Kepentingan Rakyat

05/04/2024 12:59 PM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Hubungan Malaysia-China sedang berada pada tahap terbaik ketika ini boleh terus diperkukuhkan menerusi kerjasama yang memberi keuntungan kepada rakyat kedua-dua negara, demikian menurut seorang ahli akademik.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisSZA) Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata Malaysia, yang menjalin hubungan diplomatik dengan China sejak 50 tahun lepas, tidak perlu terlibat dalam persengketaan antara negara itu dan Amerika Syarikat.

“Kita tidak mahu menjadikan China sebagai musuh dengan perbezaan ideologi politik, perkara itu perlu diletak di tepi. China merupakan rakan dagang dan sahabat terbesar Malaysia jadi bagaimana boleh kita ketepikan rakan sebesar ini?

“Jadi saya fikir untuk masa hadapan, mana-mana pimpinan politik selepas ini perlu terus memperkemas dan memperkasakan hubungan dengan China.

“Sentiasa membuka tangan, membuka ruang kepada perdagangan dengan menyediakan ruang yang seluasnya contohnya seperti pelepasan-pelepasan cukai yang mesra kepada China kerana manfaat akhirnya adalah rakyat kita sendiri,” katanya ketika ditemu bual dalam program Apa Khabar Malaysia di Bernama TV, Jumaat.

Menurut Wan Rohila, berdasarkan kaji selidik yang dilaksanakan oleh Merdeka Centre mendapati penerimaan rakyat Malaysia terhadap pelaburan China di negara ini amat baik.

Beliau berkata kerjasama yang adil serta telus adalah kunci untuk memastikan kepentingan kedua-dua pihak terjaga dengan baik.

“China memang telah menunjukkan kemajuan yang pesat dalam bidang teknologi dan pembangunan ekonomi.

“Mereka telah menjadi pemimpin dalam beberapa bidang, termasuk dalam teknologi dan pembangunan, serta industri hijau. Ini menunjukkan betapa pentingnya untuk tidak hanya mengakui kemajuan mereka tetapi juga belajar daripada pengalaman mereka,” katanya.

Beliau berkata pertukaran pengetahuan dan teknologi antara Malaysia dan China boleh memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

“Peluang untuk mengambil iktibar daripada model pembangunan China yang berjaya dan menerapkannya dalam konteks Malaysia adalah penting untuk pembangunan ekonomi dan sosial negara.

“Selain itu, pembangunan yang lestari dan menjaga alam sekitar juga adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. China telah menunjukkan komitmen dalam pembangunan hijau dan pengurangan impak alam sekitar, dan ini adalah sesuatu yang Malaysia juga boleh belajar dan terapkan,” katanya.

Wan Rohila berkata menjadikan China sebagai rujukan utama dalam beberapa bidang pembangunan adalah langkah yang bijak, namun penting juga untuk memastikan bahawa perkongsian itu adalah saling menguntungkan dan mematuhi nilai dan prinsip yang penting bagi kedua-dua negara.

Mengulas dakwaan kedaulatan nagara terancam apabila Malaysia membenarkan pelaburan China masuk ke negara ini, Wan Rohila berkata perkara itu tidak seharusnya timbul kerana setiap perjanjian persefahaman (MoU) sudah mempunyai terma dan syarat yang ketat dan jelas.

“Buat masa sekarang, tidak timbul isu kedaulatan terancam kerana setiap MoU yang dijalinkan sudah ada terma dan syarat yang sangat ketat dan jelas sebelum ditandatangan.

“Orang mahu datang melabur dan membantu, kita buka pintu seluas-luasnya dan kita punya undang-undang yang kedua-dua pihak perlu hormati,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan