DUNIA

DIPLOMAT JUNIOR MALAYSIA BOLEH BELAJAR BAHASA KOREA

05/04/2024 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Diplomat junior Malaysia kini boleh mempelajari bahasa Korea yang ditawarkan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di sini.

Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae berkata kedutaan di Malaysia dan Pusat Pendidikan Korea akan secara aktif memberikan sokongan bagi pengoperasian kursus bahasa Korea yang baru dilancarkan untuk diplomat junior.

"Adalah penting bagi diplomat, yang akan memainkan peranan utama dalam hubungan Korea Selatan-Malaysia pada masa akan datang untuk mengembangkan kemahiran bahasa Korea mereka. Ini akan membantu mengembangkan pertukaran dan kerjasama bersama untuk menggalakkan persahabatan antara kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan.

Kursus intensif itu yang bermula bulan ini sehingga 7 Dis ini, akan menyampaikan 32 jam pengajaran dalam talian kepada 16 peserta program Diploma Diplomasi (DiD), yang mendedahkan Pegawai Tadbir dan Diplomatik junior kepada hal ehwal diplomatik dan hubungan antarabangsa sebelum tugasan pertama mereka ke luar negara.

Ketua Pengarah IDFR Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Korea Selatan atas sokongan mereka dalam menjayakan inisiatif itu.

"Kami menghargai sokongan kerajaan Korea Selatan terhadap tenaga pengajar dan bahan pengajaran untuk kursus bahasa Korea.

"Kami akan berusaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Korea terhadap diplomat junior kami melalui kelas ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan