AM

Nordianis Ceburi Bidang F&b Demi Kelangsungan Hidup Keluarga, Kakitangan

05/04/2024 05:20 PM

Oleh Shaidathul Suhana Ros

JOHOR BAHRU, 5 April (Bernama) -- Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 bermula 18 Mac 2020 telah mengakibatkan pelbagai sektor perniagaan ditutup termasuk pengiklanan yang diusahakan seorang wanita tempatan, Nordianis Permin.

Demi kelangsungan hidup keluarga dan 45 kakitangan yang bergantung kepadanya, Nordianis membuat keputusan berani untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang dibenarkan beroperasi ketika PKP iaitu sektor makanan dan minuman (F&B).

Ibu dua anak itu berkata dia mengambil tempoh setahun untuk memulakan perniagaan baharu sehingga jenama minuman Haos Ek? diwujudkan dalam pasaran tempatan pada 1 Jun 2021.

“Faktor utama saya memulakan perniagaan F&B adalah kerana memikirkan nasib dan kebajikan 45 pekerja serta kira-kira 200 ahli keluarga mereka. Saya bersyukur apabila menyuarakan hasrat memulakan perniagaan ini, kesemua mereka menyokong dan sudi terus bekerja bersama-sama.

“Walaupun ketika itu saya sudah berusia 41 tahun dan hanya ada sedikit latar belakang dalam F&B tetapi saya himpun pengalaman lepas untuk dijadikan pengajaran bagi memulakan perniagaan ini secara lebih bijak,” katanya ketika ditemui Bernama di Haos Industries Sdn Bhd di sini baru-baru ini.

Pada 3 Mac lepas, usaha murni Nordianis mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri Johor apabila pengasas jenama minuman Haos Ek? itu diberi anugerah Penghargaan Inspirasi Pesona Johor 2024 bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri.

Sementara itu, wanita berusia 44 tahun itu menyeru lebih ramai masyarakat tempatan khususnya kaum hawa untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang berkenaan.

“Sebenarnya, banyak agensi kerajaan yang sedia membantu mana-mana pihak yang mahu menjadi usahawan termasuklah Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor, Perbadanan Usahawan Johor dan Jabatan Pertanian Negeri Johor.

“Agensi ini bukan sahaja memberikan khidmat nasihat dan peluang pemasaran, tetapi juga bantuan kewangan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Jadi, keluarlah dan carilah guru yang betul dalam bidang perniagaan yang ingin diceburi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Haos Ek? itu.

Dalam pada itu, anak jati Johor Bahru itu mahu golongan wanita yakin bahawa mereka mampu mengendalikan perniagaan yang dapat menambah baik tahap ekonomi diri, keluarga dan anggota masyarakat.

“Secara luaran wanita nampaknya lembut, tetapi sebenarnya kita mempunyai kesabaran, ketegasan dan kekuatan untuk bangkit setiap kali berdepan dengan kegagalan. Percayalah pada diri, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia,” katanya.

Sehingga kini, syarikatnya telah menggajikan sebanyak 70 kakitangan selain mendidik 25 usahawan baharu dalam bidang F&B.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan