AM

Agrobank Hasil Filem Pendek 'janji Amir' Sempena Aidilfitri Tahun Ini

05/04/2024 10:33 AM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Bagi menyemarakkan lagi sambutan Aidilfiltri tahun ini, Agrobank menghasilkan filem pendek 'Janji Amir' yang memaparkan kepentingan menghargai setiap detik yang ada bersama insan tersayang.

Diterbitkan Tangerine Pictures Sdn Bhd, filem pendek berdurasi lapan minit itu dibintangi tiga pelakon hebat tanah air iaitu Beto Khusairy, Nadiya Nisaa dan Amirul Affendi serta boleh ditonton menerusi semua saluran media sosial rasmi Agrobank bermula hari ini.

Pengarah filem pendek itu Bobby Husaini berkata filem itu bertujuan menyampaikan pesanan kepada masyarakat agar sentiasa menghargai insan tersayang di sekeliling selagi masih berkesempatan.

Beliau berkata mesejnya sangat universal, bukan sahaja berkisar kepada ibu bapa dan keluarga sahaja, tetapi juga kepada semua insan di sekeliling, dengan segala kasih sayang serta perhatian seharusnya diluahkan setiap masa dan ketika.

"Hargailah individu yang kita rapat sebab kita tak tahu bila dia akan pergi dalam hidup kita. Kita kena buat yang terbaik sebab kita tidak tahu adakah kita akan berjumpa lagi pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran filem pendek itu oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, di sini, malam tadi.

Janji Amir mengisahkan seorang pemuda bernama Amir yang ralat dengan sikapnya kepada ibunya sehingga membawa kepada kejadian tidak diingini, yang akhirnya membawa kepada penyesalan paling besar dalam hidupnya.

Pelakon Beto, 44, yang menjayakan watak Amir mengakui watak itu memberinya kesedaran agar sentiasa menghargai insan tersayang seperti keluarga dan sahabat terdekat dengan sebaik mungkin. 

"... mesejnya terpulang kepada penonton, kita cuba nak bagi penonton sedar, kita cuma nak jentik, mungkin ada yang sama seperti Amir dan tak sempat nak ungkapkan rasa sayang yang akhirnya membawa kepada penyesalan," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata sebagai institusi korporat, Agrobank bertanggungjawab menyemai nilai-nilai murni, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sahsiah masyarakat Malaysia.

"Saya berharap agar filem pendek ini dijadikan sebagai medium yang efektif untuk menerapkan nilai-nilai murni dan kasih sayang, terutama dalam menghargai ibu bapa sementara mereka masih ada, sesuai dengan taglinenya #jangansampairalat," katanya.

Pada masa sama, Agrobank turut tampil dengan muzik video bertajuk ‘Esok Hari Raya', yang menampilkan barisan pihak pengurusan kanan Agrobank dan telah dimuat naik di laman YouTube rasmi Agrobank sejak 26 Mac lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan