AM

BANK RAKYAT TAMPIL "TULUS IKHLAS" ARAHAN AARON AZIZ

04/04/2024 09:45 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Bank Rakyat memperkenalkan karya sulung iklan komersial pelakon popular Datuk Aaron Aziz melalui filem pendek berjudul Tulus Ikhlas bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, 48, yang bergandingan dengan pelakon dan model Sharifah Husna Syed Mustaffa serta dua pelakon cilik, Aaron Yusof Raj dan Adreana Jameela Raj dalam iklan terbabit berharap naskhah garapannya itu diterima penonton.

Pengarah filem Sayu Yang Syukur itu mengakui tertarik menerima tawaran mengarahkan filem pendek berkenaan disebabkan kekuatan skripnya dalam menyampaikan mesej kekeluargaan, yang begitu dekat di hatinya.

“Mereka dekati saya untuk berlakon, tapi selepas melihat jalan ceritanya saya dapati ia (jalan cerita) tidak jauh daripada apa yang saya pernah lakukan sebelum ini. Kalau saya hayati jalan cerita itu, saya boleh buat. Tak jauh apa yang pernah saya lakukan (lakonan sebelum ini) iaitu kekeluargaan, persaudaraan, menangis, ia benda biasa untuk saya.

“Anak dan keluarga menjadi kekuatan kepada saya untuk menjayakan filem pendek ini, lebih-lebih lagi ia menyentuh hubungan kekeluargaan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran filem pendek itu di sini hari ini.

Filem pendek Tulus Ikhlas yang berdurasi lebih tujuh minit terbitan Razor’s Edge Pictures Sdn Bhd ini mengisahkan kesedaran sosial kanak-kanak berusia 10 tahun bernama Rayyan, tentang kemelut kehidupan anak-anak yatim yang tiada tempat berlindung serta kurang bernasib baik berbanding dirinya serta adik perempuannya.

Walaupun pernah mengarah filem sebelum ini, Aaron mengakui mengarah iklan ialah sesuatu yang mencabar susulan ia perlu disiapkan dalam tempoh yang singkat.

“Filem pendek ini disiapkan dalam tempoh dua hari dengan pelbagai babak perlu dilakonkan di beberapa lokasi melibatkan kru dan pelakon yang terdiri daripada anak-anak yatim serta kakitangan Bank Rakyat sendiri.

“Saya juga bersyukur kerana mendapat sokongan daripada semua pihak terutamanya kru produksi,” katanya yang tidak menolak kemungkinan untuk mengarahkan lagi iklan komersial lain sekiranya mempunyai skrip yang bagus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat Nizam Sani berkata sudah menjadi kelaziman Bank Rakyat mempersembahkan filem pendek melibatkan barisan pengarah yang belum pernah lagi menghasilkan iklan komersial atau iklan raya seperti Allahyarham Mamat Khalid dan Sabri Yunus bagi menghasilkan naratif serta jalan cerita yang segar dengan trend dan situasi semasa.

“Kali ini, kita memberi peluang kepada Aaron menunjukkan bakatnya dan saya berharap penonton mengambil teladan terhadap mesej ‘memberi dengan ikhlas’ menerusi filem berkenaan,” katanya.

Filem pendek Tulus Ikhlas boleh ditonton menerusi semua platform media sosial rasmi Bank Rakyat dan saluran rasmi YouTube Bank Rakyat bermula hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan