KOTA BHARU, 4 April (Bernama) -- Benih padi jenis Climate Ready Seeds (CR) yang bersifat lebih tahan lasak kepada cuaca kemarau mungkin menjadi antara pilihan bagi mengelak petani di Kelantan berdepan kerugian.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Muhammad Husain berkata varieti padi yang dibangunkan oleh Universiti Putra Malaysia itu dikenal pasti sangat tahan lasak dan mampu hidup dalam cuaca panas melampau.
Beliau berkata sebagai projek permulaan, KADA telah tanam padi jenis ini sebanyak enam hektar di bendang Muling, Padang Mokan, di sini dan usia padi ketika ini sudah mencapai 83 hari namun masih segar walaupun ketiadaan air sejak 35 hari lepas.
"Benih padi rintang kemarau itu kini dalam kajian dan sudah tiga musim menjalani ujian kemarau dan cuaca panas.
"Berdasarkan pemerhatian itu KADA akan berusaha untuk mempercepatkan penanaman padi jenis CR itu di negeri ini secara lebih meluas tahun hadapan selepas mendapat pengiktirafan MARDI," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad berkata hasil lawatan beliau ke tapak tanaman padi CR sebelum ini mendapati varieti itu dipercayai boleh menjadi pencetus kepada kebangkitan petani model baharu pada masa akan datang.
"Saya melihat ada jalan keluar daripada kemelut ini dan dan berharap petani dapat terus meningkatkan hasil padi dengan lebih baik selepas ini.
"Kita harap proses pemilihan benih dilakukan secepat mungkin bagi membantu petani supaya dapat mengembalikam keuntungan mereka selepas mengalami saat getir musim ini," katanya.
Mengulas lanjut, KADA bercadang membawa perkara itu kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meneliti jenis padi tersebut ditanam pada musim akan datang.
Jelas beliau lagi, kemarau melampau sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut memberi kesan terhadap tanaman padi di Kelantan sehingga berlakunya penyusutan hasil tuaian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial