EKONOMI

KENANGA IB MENJANGKAKAN DASAR DWIRANGKAIAN 5G DIUMUM PADA SUKU KEDUA

04/04/2024 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 4 April  (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangkakan kerajaan akan mengumumkan arahan dasar dwirangkaian 5G pada suku kedua (S2) tahun ini.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma itu berkata pengumuman itu dijangka menjelaskan kepentingan ekuiti akhir bagi setiap syarikat telekomunikasi (telco) sama ada dalam entiti A atau B.

“Sebagai ringkasannya, entiti ini akan ditubuhkan sebagai sebahagian peralihan Malaysia daripada model rangkaian borong tunggal kepada model dwirangkaian 5G,” katanya.

Kenanga IB berkata entiti A akan mengambil alih kawalan rangkaian 5G pertama sedia ada yang dimiliki oleh Digital Nasional Bhd (DNB), manakala entiti B akan membangunkan rangkaian 5G kedua yang baharu.

“Pada Disember 2023, pemain-pemain telco utama seperti Celcomdigi, Maxis, Telekom Malaysia, YTL Power dan U Mobile telah memeterai perjanjian langganan saham (SSA) bersyarat dengan Kementerian Kewangan dan DNB.

“Perjanjian ini disasarkan untuk selesai menjelang April 2024, yang akan menyebabkan syarikat-syarikat telekomunikasi secara kolektif memiliki 70 peratus kepentingan dalam DNB,” katanya.

Sementara itu, Kenanga IB menjangkakan pengewangan 5G akan memberikan sokongan kepada trend purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) yang lemah.

“Pada masa hadapan, memandangkan penyedia perkhidmatan mudah alih kini perlu membayar caj akses 5G, kami percaya mereka sedang mencari cara untuk mengewangkan 5G.

“Sebelum ini pihak yang mendapatkan akses 5G dikehendaki membayar bayaran kapasiti sasaran sebanyak RM288 juta setahun, dan RM360 juta setiap tahun dalam kes Maxis kepada DNB,” katanya.

Sebaliknya, Kenanga IB berkata bahawa keperluan kawal selia akan menghalang syarikat telekomunikasi daripada mengenakan caj akses tambahan untuk perkhidmatan 5G.

“Oleh itu, pemain-pemain mudah alih telah mengubah suai rancangan 5G mereka untuk memperoleh ARPU yang lebih tinggi daripada pelanggan runcit bernilai tinggi dengan kapasiti perbelanjaan yang kukuh.

“Kami optimis tentang pemulihan ARPU atau sekurang-kurangnya ARPU stabil pada 2024, berikutan prestasi lemah pada 2023, terutamanya dalam segmen pascabayar yang sebahagian besarnya memenuhi keperluan pelanggan mewah yang mampu memperoleh ARPU yang lebih tinggi,” katanya.

Kenanga IB menyatakan bahawa pelabur kurang berhati-hati terhadap 5G memandangkan peluang pengewangan daripada perusahaan dan pelanggan bernilai tinggi akan berlaku dalam masa terdekat.

“Selain itu, pelabur optimis bahawa pendapatan dan dividen untuk pemain-pemain telekomunikasi akan kekal utuh memandangkan persekitaran kawal selia yang lebih sederhana dan akomodatif,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor telekomunikasi dengan pilihan utama mereka ialah Telekom Malaysia dan Celcomdigi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan