AM

LTAT UMUM DIVIDEN LIMA PERATUS, LIBATKAN PEMBAYARAN RM485.08 JUTA

04/04/2024 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen lima peratus bagi tahun 2023 melibatkan jumlah pembayaran bernilai RM485.08 juta.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin jumlah pembayaran itu meningkat berbanding RM476.45 juta untuk tahun 2022.

“Diharapkan ini membawa berita gembira kepada para pencarum seramai 123,380 orang iaitu anggota-anggota tentera yang menyimpan dalam LTAT. Dengan pengumuman dividen ini kita percaya LTAT akan bergerak cemerlang sebagai satu tabung pencen untuk anggota tentera yang berkhidmat.

“LTAT diharap terus mampu memainkan peranan memajukan ekonomi negara melalui penyertaannya dalam pelbagai bidang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman dividen LTAT 2023 di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.

Beliau berkata pengagihan dividen tahun 2023 ini akan akan mula dilakukan hari ini.

Sementara itu mengulas dakwaan kononnya berlaku krisis kewangan melibatkan LTAT, Mohamed Khaled berkata ia merupakan satu tuduhan tidak berasas.

“Orang tidak semak betul-betul dengan kita (LTAT). Orang nampak lebih percaya dengan cerita-cerita sensasi. Kita tidak mungkin akan umumkan dividen sebegini sekiranya kita tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan kuat,” katanya.

Selain itu merujuk kepada perlantikan Jen (B) Tan Sri Azizan Ariffin sebagai Pengerusi LTAT baharu dan Mohammad Ashraf Md Radzi sebagai Ketua Eksekutif LTAT berkuat kuasa 1 April lepas, beliau melahirkan keyakinan terhadap penstrukturan semula LTAT.

“Kita akan pastikan segala perancangan itu akan dijayakan bersandarkan perkara-perkara yang kita percaya baik untuk masa depan LTAT selain melindungi kepentingan para pencarum,” katanya.

Apabila ditanya berhubung isu penjualan saham Affin Bank Bhd kepada kerajaan Sarawak, Mohamed Khaled berkata perkara itu akan diteruskan dan hanya menunggu kebenaran Bank Negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan