AM

Jualan Lebaran Raya Mada Bantu Usahawan Tonjol Produk, Tingkat Pendapatan

08/04/2024 10:27 AM

ALOR SETAR, 2 April (Bernama) -- Usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berpeluang menonjolkan produk sekali gus meningkatkan pendapatan mereka sepanjang Jualan Lebaran Raya MADA bermula 28 Mac hingga 9 April di beberapa lokasi di Kedah dan Perlis.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata usahawan terutama pengusaha produk makanan diberi peluang menyertai jualan tersebut di pasar raya besar yang menjadi tumpuan pengunjung membuat persiapan hari raya.

"Setakat ini kami lihat hasil jualan para usahawan sudah melepasi sasaran masing-masing walaupun baru beberapa hari jualan. Ada pelbagai jenis makanan, biskut, kek dan kerepek untuk Aidilfitri ini dijual terus daripada usahawan.

"MADA menanggung sebahagian besar perbelanjaan (bayaran tapak niaga), manakala usahawan hanya menyumbangkan sedikit bayaran sebagai tanda komitmen mereka dalam program ini," katanya kepada Bernama selepas meninjau gerai-gerai jualan usahawan bimbingan MADA di Alor Setar Mall di sini.

Beliau berkata MADA juga berterima kasih kepada pihak pengurusan pasar raya yang sentiasa memberi kerjasama baik setiap tahun dengan menyediakan ruang niaga yang kompetitif kepada usahawan terpilih.

Usahawan, Shafina Md Fadzil, 44, yang sudah tiga tahun dibimbing MADA berkata program jualan tersebut sangat dinanti-nantikan kerana pada masa inilah dia dapat mempromosikan produk dengan label 'Sambal Mak' kepada orang ramai.

"Saya jual pelbagai jenis sambal antaranya sambal ikan talang, sambal petai, jering dan ikan bilis yang boleh terus dimakan. Saya sangat gembira kerana jualan laris memandangkan bulan puasa makanan macam ini memang orang cari.

"Selain program jualan hari raya, saya juga pernah dipilih oleh MADA menyertai karnival sehingga ke Sabah dan dari situ saya dapat lebih ramai pelanggan dan produk saya semakin dikenali," kata usahawan dari Tokai, Pendang yang menjadikan sambal sebagai produk utamanya.

Bagi Tarmizi Abu Bakar, 32, peluang untuk menyambung legasi ibunya yang merupakan usahawan bimbingan MADA sejak 10 tahun tidak dilepaskan dan program jualan seumpama itu digunakan sebaiknya untuk meningkatkan jaringan perniagaan dengan pelanggan.

"Kami ada macam-macam biskut raya resepi istimewa emak saya. Biskut kelapa dan rempeyek paling laris dijual kerana jenama Wannor Cookies ni memang sudah dikenali ramai," katanya.

Tarmizi berkata ibunya Wan Norizan Wan Ahmad, 56, mempunyai bengkel membuat kuih di Kampung Kubang Pisang, Pendang dan sentiasa mendapat sokongan MADA dalam menambah baik produk mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan