AM

Mida Lulus 4,230 Projek Teknologi Hijau Bernilai Rm41 Bilion Sehingga 2023

02/04/2024 12:49 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan sebanyak 4,230 projek teknologi hijau bernilai RM41 bilion sehingga 2023, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata pendekatan keseluruhan kerajaan yang diambil telah menunjukkan pertumbuhan yang ketara dalam pelaburan teknologi hijau. 

“Hal ini jelas menunjukkan prospek Malaysia dalam pelaburan teknologi hijau. Dimaklumkan juga bahawa majoriti projek teknologi hijau yang diluluskan adalah bagi segmen projek solar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang ingin tahu mengenai perkembangan terkini pelan strategik kerajaan untuk meningkatkan pelaburan teknologi hijau.

Liew berkata kerajaan juga telah menambah baik Insentif Teknologi Hijau melalui pendekatan berperingkat untuk menggalakkan lagi pelaburan dalam teknologi hijau. 

Menurut beliau, insentif tersebut kini meliputi aktiviti pelaburan hijau yang lebih meluas, termasuk hidrogen hijau, stesen pengecasan kenderaan elektrik dan tenaga angin.

“Penambahbaikan ini bertujuan merangsang pelaburan syarikat baharu dan sedia ada bagi mendorong pencapaian negara neutral karbon menjelang 2050,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan