AM

EAIC PERKENAL TALIAN ADUAN MENERUSI WHATSAPP

01/04/2024 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini memperkenalkan saluran alternatif untuk memudahkan orang ramai membuat aduan berhubung salah laku penguat kuasa melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-3555215.

EAIC memaklumkan orang awam hanya perlu menaip ADUAN SALAH LAKU dan diikuti dengan nama pengadu, alamat /nombor telefon atau e-mel untuk dihubungi, agensi yang diadukan dan butiran aduan beserta lampiran bukti (foto/video/dokumen).

"Talian ini hanya akan menerima aduan secara bertulis dan akan memberikan makluman penerimaan aduan tersebut secara automatik sementara ia dirujuk dan diproses lanjut bagi kelulusan awal sebelum diputuskan oleh Mesyuarat Suruhanjaya," katanya dalam kenyataan.

Talian itu beroperasi pada waktu bekerja Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang. 

Menurut EAIC, selain saluran berkenaan, suruhanjaya itu masih mengekalkan penerimaan aduan melalui saluran sedia ada iaitu Sistem Penyelesaian Aduan dan Pengendalian Siasatan (SPAPS) di Portal EAIC, e-mel aduan@eaic.gov.my dan secara bersemuka di Kaunter Aduan dan Pusat Khidmat Pelanggan EAIC di Aras G, Menara Usahawan di Putrajaya.

"Penambahan saluran baharu ini akan membolehkan orang awam menyalurkan aduan dengan cepat, mudah dan efektif supaya tindakan segera boleh diambil oleh suruhanjaya ini," kata EAIC.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan