EKONOMI

Ecerdc Realisasikan Pelaburan Berjumlah Rm41.4 Bilion Sehingga Mac 2024 - PM Anwar

01/04/2024 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah merealisasikan pelaburan berjumlah RM41.4 bilion iaitu 84 peratus daripada sasaran RM49 bilion di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) sehingga Mac lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan ini telah mewujudkan 68,000 peluang pekerjaan dan 23,000 peluang keusahawanan di ECER.

“Dalam tempoh yang sama, ECERDC juga berjaya mencapai RM55.2 bilion pelaburan komited, iaitu 79 peratus daripada sasaran RM70 bilion di bawah EMP 2.0,” kata beliau di laman media sosial miliknya hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat ECERDC Bilangan 1 Tahun 2024 yang dihadiri oleh Menteri Besar-Menteri Besar yang menganggotai majlis ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa Pihak Berkuasa Koridor Ekonomi memainkan peranan penting dalam fasilitasi pelaburan bersama-sama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Beliau berkata tatakelola perancangan dan keberhasilan projek-projek melalui Pihak Berkuasa Koridor turut perlu diperhalusi dengan terperinci oleh kementerian berkaitan sebelum diluluskan.

Justeru, katanya mesyuarat kali ini telah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) untuk meneliti dan memutuskan semua perkara operasi serta pelaksanaan bagi pembangunan ECER.

“Penubuhan Jawatankuasa EXCO ini akan membolehkan Majlis ECERDC lebih menumpukan kepada perkara-perkara strategi dan dasar dalam pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan