JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat, Ketua Operasi Didakwa Subahat Turunkan Papan Iklan syarikat Lain

01/04/2024 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat dan ketua operasi sebuah syarikat pengiklanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat menurunkan papan tanda iklan milik sebuah syarikat lain.

V. Manikandamurthy, 44, dan Syed Abdul Haleem Syed Ibramsa, 42, didakwa bersubahat menurunkan papan tanda iklan milik Syarikat Seni Jaya Sdn Bhd di persimpangan jalan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) Desa Park City, Sentul antara 12.30 tengah malam hingga 10 pagi pada 3 Ogos 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 427 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM5,000 namun peguam Latheefa Koya yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Mei untuk sebutan kes.

Di Mahkamah Majistret berasingan kontraktor V. Saravanan Kumar, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan menurunkan papan tanda iklan serupa di lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa.

Majistret Illi Mariqsa Khalizan membenarkan tertuduh, yang diwakili peguam sama diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama (8 Mei) untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan