Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Bergelar warga emas bukan penghalang untuk Koo Soo Ming mengejar minat mendalami seni tarian Melayu tradisional seterusnya berkongsi ilmu seni tarian itu dengan rakan seusianya.
Wanita berusia 65 tahun itu berpendirian tiada definisi mustahil atau terlambat untuk beliau mempelajari tarian seperti zapin, inang dan joget sekali gus merealisasikan minatnya terhadap tarian Melayu yang berputik sejak kecil.
"Saya mula menari sewaktu di sekolah, namun semasa itu bukan tarian Melayu. Bagaimanapun, aktiviti menari terhenti selepas tamat pengajian universiti dan mendirikan rumah tangga sebelum saya kembali menari pada usia 50 tahun untuk program dan acara amal.
"Pada usia 61 tahun, semasa pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya meraih perhatian selepas menyertai #InangChallenge yang tular ketika itu sebelum memilih untuk menyertai kelas tarian pereka tari Khairulazhar Mohtar untuk mengasah bakat," katanya kepada Bernama.
Berkongsi tentang cabaran, Koo mengakui pernah berasa rendah diri apabila berlatih atau menari dengan penari profesional yang jauh lebih muda dan bertenaga hingga pada suatu tahap beranggapan dirinya sebagai 'pelajar paling tua dan paling tidak bagus'.
Koo bagaimanapun membuang tanggapan negatif itu dan berpegang kepada prinsip pembelajaran adalah proses sepanjang hayat selain melihatnya sebagai peluang untuk mempelajari dan membaiki teknik tarian dan pada masa sama, mendalami teknik mengajar daripada Khairulazhar.
Anak jati Kelantan itu seterusnya menurunkan ilmu yang dipelajari melalui kelas yang 'dibuka' khusus kepada golongan seusianya yang berkongsi minat sama, kerana melihat tarian juga menyumbang kepada kecergasan fizikal dan mental warga emas.
"Saya juga tidak mahu kelas ini sekadar menjadi seperti aktiviti senaman buat warga emas mengisi masa lapang, sebaliknya turut menjadikannya saluran untuk mencipta kepuasan dan 'self rewarding' apabila mereka mampu membuat persembahan.
"Saya mahu kami menari bukan biasa-biasa, tapi hingga peringkat yang boleh dibanggakan walaupun tidak setaraf profesional. Saya percaya mesti ada yang berpotensi dan berbakat untuk diketengahkan dalam kalangan kami," katanya yang telah melatih lebih 60 peserta berusia antara 50 hingga 77 tahun.
Kelas tarian Melayu tradisional di bawah program Active Ageing Impact Lab Taylor's University Lakeside Campus Subang Jaya itu diadakan seminggu sekali di Experimental Theatre yang mampu menampung maksimum 22 peserta pada satu-satu masa.
Hasil didikan kelas itu, tertubuhlah dua kumpulan tarian warga emas yang dinamakan Inang Sari dan TariMas yang antara lain, pernah beraksi pada acara Active Ageing Festival di Taylor's University pada September 2023, Life Begins At 50 Festival di Atria Shopping Gallery pada Oktober 2023 dan Malaysia 50+ Expo 2024 awal Mac lepas di Setia City Convention Centre.
Selain itu, Koo yang merupakan penterjemah bebas berkata lenggok tarian Melayu yang sopan dan lemah lembut juga sesuai dengan keupayaan warga emas berbanding tarian lain seperti zumba dan Bollywood yang memerlukan pergerakan ligat termasuk melompat.
"Memang pakai tenaga dan rasa penat juga menari tarian Melayu, tapi masih dalam kemampuan (peserta warga emas yang mengikuti kelas tarian)," katanya yang berharap mendapat sokongan lebih banyak pihak termasuk Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk mengembangkan lagi inisiatif tersebut.
Sementara itu, bekas pensyarah yang juga peserta program itu Dr Kuang Ching Hei, 66, berkata selain belajar rentak tarian, beliau juga mula lebih menghargai muzik tradisional Melayu sejak menyertai kelas berkenaan.
"Sewaktu kelas, cikgu (Koo) bukan hanya mengajar langkah tarian tetapi turut berkongsi asal usul budaya tarian. Jadi ia membuka minda terutama untuk saya yang tidak arif tentang tarian Melayu," katanya.
Anak kelahiran Kedah yang membuat kemunculan semula di pentas tari tahun lepas selepas kali terakhir membuat persembahan pada usia 16 tahun, juga mengakui menari membuatnya berasa lebih yakin dan sihat selain lebih berdisiplin, memperbaiki sikap serta menaikkan semangat pada usia emas.
Peserta tertua Nancy Harrigan, 77, pula menyifatkan aktiviti tarian membantu menguatkan memorinya selain meningkatkan pergerakan dan tahap kesihatan.
"Sebagai warga emas kami lebih terdedah dengan potensi demensia dan Alzheimer, jadi harus terus bergerak aktif, dan bergaul dan terus belajar, pembelajaran tak dihadkan oleh umur," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial