EKONOMI

Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber Malaysia Berpotensi Jadi Destinasi Antarabangsa - Pm Anwar

26/03/2024 04:40 PM

CYBERJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) Malaysia berpotensi menjadi destinasi antarabangsa untuk menangani ancaman siber, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pusat itu yang dilancarkan hari ini boleh menjadi medan pertemuan antara universiti Malaysia dan Kanada, institusi penyelidikan dan pekerja mahir untuk berkongsi pengetahuan, maklumat ancaman dan membangunkan bersama kaedah dan strategi untuk memperkukuh daya tahan siber negara dan serantau.

“CCoE adalah satu pencapaian penting dalam usaha kita ke arah mewujudkan ekosistem keselamatan siber yang teguh, yang memerlukan perkongsian kukuh merentas sektor awam dan swasta.

"Kita boleh bekerjasama untuk membangunkan rancangan yang menggalakkan perkongsian maklumat dan pertukaran kepakaran antara agensi kerajaan, dan pihak berkepentingan lain termasuk berkongsi maklumat ancaman yang boleh diambil tindakan ke arah persekitaran digital yang lebih selamat," kata beliau dalam ucapannya selepas merasmikan pusat kecemerlangan itu, di sini, hari ini, secara kerjasama dengan Blackberry Ltd. 

Majlis hari ini merupakan susulan daripada perjanjian perkhidmatan perisian jangka panjang yang dimeterai antara syarikat perisian Kanada itu dengan Malaysia semasa Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di San Francisco pada November tahun lepas.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan