AM

Rumah Smj Tawar Kediaman Selesa Untuk Penduduk Miskin Luar Bandar Di Kiulu

23/03/2024 05:33 PM

Oleh Fadzli Ramli

TUARAN, 23 Mac (Bernama) -- Lebih 40 keluarga miskin luar bandar di Kiulu di sini memperoleh manfaat daripada Inisiatif Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak program berkenaan dilancarkan pada September 2022.

Waitin Banggang, 61, dari Kampung Ranau-Ranau berkata program itu memberikan keluarganya sinar baharu selepas sering gagal memohon bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Syukur dapat duduk rumah sendiri yang selesa, sebelum ini susah kerana terpaksa menyewa dan menumpang. Terima kasih kerajaan Sabah kerana rumah SMJ ini saya dan keluarga boleh hidup selesa,” katanya kepada Bernama.

Insiatif Rumah Mesra SMJ dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk membantu golongan di bawah garis kemiskinan memiliki rumah sendiri yang berharga RM70,000 seunit dan menyasarkan pembinaan sebanyak 1,500 unit rumah setahun.

Kilulu sebuah daerah kecil terletak 47 kilometer arah timur laut dari Kota Kinabalu dan turut dikenali sebagai kawasan ekopelancongan dan pertanian. 

Stella Lonsiun, 43, dari Kampung Logkou Lama berkata dia dapat memiliki rumah itu dengan bantuan wakil rakyat dan pemimpin masyarakat. 

“Dua tahun menanti akhirnya dapat rumah pada Selasa lepas, terima kasih kepada semua yang telah membantu. Program ini jelas tunjukkan Pelan Halatuju SMJ kerajaan negeri itu bantu penduduk miskin seperti kami,” katanya.

Robert Kampadong, 48, dari Kampung Logub berkata inisiatif SMJ menjadi bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat dan berharap program ini diteruskan agar mereka yang menunggu kelulusan dapat menikmati manfaat yang sama. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai berkata pada tahun ini seramai 20 keluarga di kawasan berkenaan bakal memperoleh manfaat yang sama dan setiap 73 DUN negeri masing-masing pula akan mendapat 20 rumah SMJ. 

"SMJ menjadi pengubah keadaan dan tidak harus diperkecilkan. Sebelum kerajaan GRS-PH Plus, kawasan DUN Kiulu hanya diperuntukkan antara empat hingga lima buah rumah untuk membantu golongan miskin tegar setiap tahun," katanya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu meluahkan kekesalan dengan tindakan pembangkang yang memperlekeh slogan SMJ.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta setiap ADUN berbanding RM1.5 juta yang diperuntukkan kerajaan sebelum ini untuk memenuhi keperluan rakyat. Peningkatan dana ini membolehkan kita menangani keperluan mendesak rakyat luar bandar dengan lebih berkesan,” katanya.

Joniston berkata usaha itu juga memperlihatkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan bantuan penting sampai kepada mereka yang memerlukan serta memastikan wakil rakyat lebih bertanggungjawab menguruskan dana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan