AM

Lawatan Anwar Ke Jerman Capai Objektif, Kukuh Jalinan Ekonomi, Politik - Penganalisis

23/03/2024 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman baru-baru ini berjaya mengeratkan lagi hubungan akrab sedia ada antara Malaysia dan Republik Persekutuan Jerman selain menarik potensi pelaburan yang tinggi ke negara ini.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata mesyuarat meja bulat perniagaan Anwar dengan kapten industri dan syarikat terkemuka Jerman serta Eropah pula, dilihat langkah penting bagi menjamin pelaburan asing daripada Jerman terus berkembang di Malaysia sekali gus menjadikan Malaysia hab perdagangan global di rantau Asia Tenggara.

“Misalnya, Malaysia meraih potensi pelaburan baharu bernilai RM45.4 bilion daripada tujuh syarikat Eropah bagi jangka masa lima hingga 10 tahun, manakala projek di bawah Syarikat X-Fab, Melexis dan Schott Glass yang diluluskan pada 2023 dengan jumlah pelaburan bernilai RM4.45 bilion, dijangka menjana 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Malah, Malaysia juga memperoleh tambahan RM1.4 bilion daripada Airbus hasil potensi jualan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke Jerman dalam sektor aeroangkasa bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lawatan rasmi Anwar ke Jerman pada 10 hingga 15 Mac antara lain turut melibatkan pertemuan dua hala Perdana Menteri bersama Canselor Olaf Scholz dan kunjungan hormat ke atas Presiden Frank-Walter Steinmeier pada 11 Mac 2024, selain pertemuan dengan Naib Canselor Dr Robert Habeck.

Mohd Azizuddin berkata Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Jerman di Asia Tenggara dengan nilai dagangan berjumlah RM63.5 bilion pada 2023, malah terdapat 700 syarikat Jerman beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata nilai dagangan di Selat Melaka berjumlah US$3.5 trilion dan laluan lebih 80,000 kapal dagangan telah menarik minat Jerman terhadap Malaysia selain didorong oleh kestabilan politik dan ekonomi yang wujud di negara ini.

Mengenai hubungan Jerman dan Malaysia dengan China dilihat sebagai pencabar kepada kekuatan ekonomi Barat, Mohd Azizuddin berkata: “Melihat kepada isu kebergantungan terhadap China, Jerman cuba merungkaikan pergantungan tersebut dengan mengukuhkan hubungan luarnya dengan negara lain termasuk Malaysia”.

Pakar bidang hubungan antarabangsa itu juga berkata lawatan Perdana Menteri ke Jerman turut menjadi tumpuan dan bualan masyarakat dunia apabila Anwar mempertahankan Palestin dan mengkritik hipokrasi Barat mengenai peperangan di Gaza dan pembunuhan kaum beramai-ramai warga Palestin oleh tentera rejim Israel.

“Ini satu keberanian yang jarang berlaku dan dilakukan oleh pemimpin utama negara yang seterusnya menjadi jurucakap kepada Dunia Islam dan masyarakat yang tertindas.

“Berkenaan situasi di Gaza, meskipun pendirian dua negara ini adalah berbeza, namun kedua-dua pihak bersependapat mengenai pelaksanaan gencatan senjata secara kekal, keperluan mendesak bagi bantuan kemanusiaan berterusan kepada rakyat Palestin dan penyelesaian dua negara atau two-state solution.

Mengenai penerimaan Anwar untuk menyertai Climate Club atas jemputan Canselor Scholz, Mohd Azizuddin berkata ia selari dengan agenda Malaysia khususnya berkaitan dengan teknologi hijau dan yakin penyertaan itu dapat dimanfaatkan untuk pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti warga Malaysia.

“Ini akan mengukuhkan profil Malaysia bagi usaha tindakan iklim dan komitmen dalam memenuhi tanggungjawab di bawah Perjanjian Paris selain memperluaskan kerjasama dalam pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh diperbaharui serta sektor perusahaan kecil sederhana,” katanya.

Menurut beliau, hubungan erat Malaysia-Jerman turut memberi tumpuan kepada kerjasama pendidikan tinggi di Malaysia yang menyaksikan lebih 114 perjanjian kerjasama antara universiti kedua-dua negara khususnya di dalam bidang sains dan teknologi.

Mohd Azizuddin berkata melalui kerjasama erat kedua-dua negara juga telah menyebabkan banyak program ijazah berganda, ijazah dual dan ijazah bersama selain pertukaran pelajar dan staf akademik dilakukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan