AM

PELAJAR MENINGGAL DUNIA: KPM TIDAK KOMPROMI KES BULI, BERI KERJASAMA PENUH

23/03/2024 11:33 AM

PUTRAJAYA, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi kerjasama penuh berhubung siasatan kejadian seorang pelajar kolej vokasional di Sabah yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan, semalam. 

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan pihaknya tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

"KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, pelajar Kolej Vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia pada Jumaat.

“Kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM bersedia memberi kerjasama penuh,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KPM juga telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa. 

“Sokongan psikososial turut ditawarkan kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej,” menurut kenyataan itu.

Semalam, pelajar berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional di Sabah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad dilapor berkata pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.

Beliau berkata susulan itu, 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan