AM

Eaic, Jawi Kerjasama Anjur Ihya’ Dan Erat Ramadan Bersama #gengsubuhmacamjumaat

21/03/2024 10:41 AM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan Program Ihya’ dan ERAT Ramadan bersama #GENGSUBUHMACAMJUMAAT di Masjid Wilayah Persekutuan, pada Ahad ini.

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta turut dijayakan oleh pelakon dan penyanyi Alif Satar, yang juga merupakan pelopor kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’.

“Orang ramai dijemput hadir ke program yang akan bermula pada 4.15 pagi dengan qiamullail, jamuan sahur dan solat subuh berjemaah.

“Sesi tazkirah juga akan disampaikan oleh Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang bertajuk Integriti, Jihad Sanubariku,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, badan itu turut memaklumkan Muslimin dan Muslimat yang hadir berpeluang menerima hadiah tajaan pakej umrah dan wang tunai dengan menyertai pertandingan hafazan al-Quran, cabutan istimewa oleh Bank Islam dan pemberian sampul Subuh kepada jemaah junior (kanak-kanak).

Untuk pertanyaan lanjut layari laman sosial EAIC dan JAWI eaicofficial dan jawi_KL atau hubungi urus setia program menerusi talian 019-211 1859.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan