JENAYAH & MAHKAMAH

STOKING KALIMAH ALLAH: JAKIM BERI AMARAN KERAS KEPADA PENGURUSAN KK SUPERMART

19/03/2024 09:17 PM

PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) memberi amaran keras kepada pengurusan KK Supermart and Superstore Sdn Bhd berhubung penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah, supaya isu melibatkan sensitiviti keagamaan tidak berulang lagi.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart and Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr KK Chai semalam.

Hakimah berkata dalam pertemuan tersebut, pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenai isu penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah seperti yang tular baru-baru ini, dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama itu berulang.

"Pihak KK Supermart and Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemas kini Prosedur Operasi Standard syarikat," katanya.

Beliau berkata JAKIM menyokong tindakan pihak Polis Diraja Malaysia yang telah membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah yang tular baru-baru ini.

Hakimah berkata JAKIM sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan memandang serius terhadap isu tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan sensitiviti keagamaan malahan boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

"JAKIM memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.

"Dalam masa yang sama, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan