EKONOMI

Kerajaan Tiada Rancangan Tambat Ringgit Buat Masa Ini - Menteri Kewangan Ii

19/03/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Kerajaan tidak merancang untuk menambat ringgit pada masa ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata melihat kepada penambatan ringgit yang dibuat sekitar tahun 1998, keadaan ekonomi ketika itu berbeza berbanding sekarang.

Menurutnya dari segi kedudukan ekonomi pada 1998, pasaran saham pada masa itu jatuh sebanyak 76 peratus tetapi sekarang jika dilihat dari awal tahun ini pasaran saham sudah naik sebanyak enam peratus.

Selain itu, pinjaman daripada luar negara pada 1998 adalah pada 16 peratus daripada pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding pinjaman daripada luar negara ketika ini hanya pada dua atau satu peratus.

“Kita lihat dari segi reserve (rizab) negara...rizab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah sekitar AS$114 bilion, ia lebih baik berbanding AS$26 bilion pada 1998.

“Sehubungan itu, tiada keperluan untuk kita react (bertindak balas) dengan tergesa-gesa mengenainya. Memang kerajaan peka terhadap isu ringgit dan akan berusaha untuk menanganinya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang ingin mengetahui adakah kerajaan merancang untuk menambat ringgit bagi mengekang atau menjaga aset negara.

Amir Hamzah berkata penganalisa juga berpendapat bahawa ringgit akan mengukuh pada tahun ini ke tahap yang lebih baik dan diunjurkan meningkat kepada RM4.50.

“Menerusi Kerangka Ekonomi MADANI kita yakin ringgit akan berada pada kedudukan lebih baik pada masa depan,” katanya. 

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan