AM

Pibg Digesa Mainkan Peranan Pastikan Koperasi Sekolah Bergerak Aktif - Ewon

18/03/2024 08:55 PM

KOTA KINABALU, 18 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menggesa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya memastikan koperasi sekolah sentiasa bergerak aktif sekali gus merangsang pendapatan kepada ahlinya.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata selain mendapat pulangan keuntungan, koperasi sekolah juga menjadi platform mempelajari integriti dan kemahiran keusahawanan yang boleh membantu perkembangan pelajar.

“Ini termasuk mempelajari budaya dan strategi keusahawanan seperti perolehan modal, peluang perniagaan strategik dan bagaimana memperoleh keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bersempena dengan Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah Dewan Undangan Negeri  Kadamaian dan Bantuan Van Koperasi Sempena Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion di Kota Belud hari ini.

Beliau berkata koperasi sekolah perlu menjalankan transformasi termasuk mewujudkan pelbagai aktiviti perniagaan lain yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi ahli-ahlinya, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Katanya, terdapat 230 koperasi sekolah yang aktif di Sabah dengan sumbangan keseluruhan pendapatan sebanyak RM20.15 juta.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan terus memastikan usaha-usaha berterusan dilaksanakan secara strategik bagi memastikan sektor koperasi terus kompetitif dan kekal lestari,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian, menyempurnakan penyerahan van koperasi bernilai RM140,000 kepada SMK Tambulion serta mengumumkan sumbangan RM50,000 untuk menaik taraf kemudahan dewan sekolah berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan