JAKARTA, 14 Mac (Bernama) -- Presiden Joko Widodo merasmikan kemudahan pengeluaran minyak sawit merah pertama Indonesia di Sumatera Utara pada Khamis bagi memajukan industri minyak sawit negara dan memperkasakan petani.
Beliau berkata loji perintis yang terletak di Pagar Merbau di Deli Serdang itu mempunyai kapasiti harian untuk mengeluarkan 10 tan minyak sawit mentah (MSM) dan menghasilkan kira-kira tujuh tan minyak masak merah sehari.
Ini sejajar dengan usaha Indonesia untuk menambah nilai kepada sektor minyak sawitnya, memanfaatkan ladang kelapa sawitnya yang luas meliputi 15.3 juta hektar dengan 40.5 peratus atau 6.2 juta hektar dimiliki oleh petani.
Joko Widodo juga dikenali sebagai Jokowi menekankan bahawa pembukaan loji itu juga merupakan sebahagian daripada usaha menambah nilai kepada komoditi melalui pemprosesan produk siap.
"Jika boleh, jadikan buah tandan segar dan MSM kepada produk siap seperti ini. Ini sangat bermanfaat," katanya pada majlis perasmian, seperti yang disiarkan di saluran media sosial Sekretariat Presiden.
Jokowi melahirkan keyakinan bahawa pengeluaran minyak sawit merah akan meningkatkan daya saing produk minyak sawit tempatan, kerana ia menawarkan alternatif yang lebih murah berbanding pilihan lain di pasaran.
Beliau juga menekankan manfaat kesihatan dan ekonomi minyak sawit merah, menyatakan kemampuannya untuk mengekalkan Vitamin A dan Vitamin E yang penting untuk kesejahteraan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial