AM

KERETA DENGAN DUA KANAK-KANAK REMPUH GERAI, PENIAGA MELECUR

14/03/2024 06:54 PM

SEREMBAN, 14 Mac (Bernama) -- Tindakan penjaga meninggalkan dua kanak-kanak dalam kereta yang tidak dimatikan enjin membawa padah apabila kenderaan itu merempuh sebuah gerai di bazar Ramadan di Kuala Klawang, dekat sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Jelebu DSP Maslan Udin berkata insiden itu menyebabkan seorang peniaga melecur selepas terkena minyak panas berikutan kereta tersebut menggelongsor ke arah gerainya dalam kejadian pada 5.45 petang.

“Akibat pelanggaran, kuali yang dipenuhi minyak panas tertumpah dan terkena lelaki berusia 40 tahun itu sehingga dia melecur 25 peratus pada bahagian belakang badan, paha dan betis kaki sebelah kiri sebelum dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.

“Kanak-kanak yang masing-masing berusia enam dan dua tahun itu berada dalam kenderaan tersebut tanpa pengawasan. Ibu bapa mereka dipercayai keluar untuk membeli makanan dan kita mengesyaki anak mereka mungkin bermain dengan brek tangan kereta itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak terlibat tidak mengalami kecederaan dan kes masih disiasat di bawah Peraturan 14(1)(A) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan LN 166/59 (Kaedah 45) iaitu tidak mematikan enjin semasa meninggalkan kenderaan.

Justeru, Maslan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jelebu Sarjan Azani Jusoh di talian 016-9752980. 

Video berdurasi 20 saat yang memaparkan insiden berkenaan tular di laman sosial sejak semalam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan